HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Jun 2009

Lelaki dibenar kemuka semula saman mengenai status agama

MSTAR ONLINE


PUTRAJAYA: Seorang lelaki dan tiga anaknya yang terlibat dalam pertikaian mengenai status agama mereka dibenar oleh Mahkamah Rayuan hari ini untuk mengemukakan semula saman mereka bagi mendapatkan perisytiharan bahawa mereka bukannya Islam.

Dalam keputusan sebulat suara, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri Datuk Wira Low Hop Bing, Datuk K.N.Segara dan Datuk Ahmad Maarop, mendapati perisytiharan yang dipohon dalam saman pemula Zaina Abidin Hamid @ S.Maniam, 58, dan tiga anaknya bahawa mereka tidak pernah mengamalkan ajaran Islam dan dengan itu mereka bukan beragama Islam, bukannya satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Mahkamah itu kemudian memerintahkan agar kes itu dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi Shah Alam, dan menetapkan Isnin ini bagi sebutan.

Pada 27 Sept 2004, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak saman pemula Zaina Abidin dengan alasan bahawa pihak yang berkuasa dalam pertikaian itu adalah Mahkamah Syariah dan bukannya mahkamah sivil.

Pihak responden terdiri kerajaan Malaysia, kerajaan negeri Selangor, dan Majlis Agama Islam Selangor, berkata Zaina Abidin dan keluarganya masih terikat dengan undang-undang Islam kerana mereka tidak mendapat kebenaran Mahkamah Syariah untuk keluar daripada agama Islam setelah dilahirkan dalam keluarga India Muslim.

Dalam saman pemulanya, Zaina Abidin memohon perisytiharan berdasarkan takrif Perlembagaan Persekutuan dan enakmen Islam negeri Selangor.

Zaina Abidin dan anakanaknya dilahirkan dalam keluarga India Muslim kerana bapanya memeluk agama Islam selepas berkahwin dengan ibunya yang sememangnya seorang India Muslim.

Bagaimanapun, Zaina Abidin mendakwa yang keluarganya tidak pernah mengamalkan ajaran Islam.

Pada tahun 1980, dia berkahwin dengan seorang wanita Hindu dan mereka mempunyai tiga anak.

Peguam Kanan Persekutuan Azizah Nawawi berkata saman pemula Zaina Abidin bersifat tidak serius, menyusahkan dan menyalahguna proses mahkamah kerana isu murtad adalah dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah, tetapi Fahri Azzat, peguam yang mewakili Zaina Abidin, berkata oleh kerana pertikaian itu melibatkan takrif Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negeri, ia perlu dengar oleh mahkamah sivil. BERNAMA

Tiada ulasan: