HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Jun 2009

‘Kiasan’ Tok Guru Nik Aziz tidak salah, Pemimpin UMNO Boleh Berdebat

Wartawan Buletin


KUALA TERENGGANU – Sebagai seorang ulama’ dan pemimpin politik Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih arif memberikan kiasan tersendiri dalam usaha menyedarkan pemimpin Islam supaya melaksanakan perjuangan ke arah kebenaran Islam.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Uztaz Satiful Bahri Mamat berkata ‘kiasan’ yang diberikan oleh Mursyidul Am PAS itu kepada UMNO tidak salah.

“Tok Guru sudah menyatakan, apa yang dikatakannya terhadap UMNO adalah kiasan. Tok Guru orang yang belajar dan mengajar akidah, cuma dari segi pandangan masyarakat, ia kelihatan kasar,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata kiasan Tok Guru itu adalah satu peringatan dan amaran kepada pemimpin Islam Melayu supaya sensitif terhadap tuntutan agama.

Oleh itu katanya, sekiranya mana-mana ungkapan Tok Guru Nik Aziz yang dirasakan tidak benar, UMNO sepatutnya menerima pelawaan beliau untuk berdebat.

“Mereka yang tidak menerima Islam atau tidak mahu mengikut Islam boleh dianggap sesat dan sama dengan perumpamaan itu. Dari segi politik, kadang-kadang kata-kata sebegini perlu dalam usaha memberi kesedaran.

”sekiranya pemimpin UMNO tidak puas hati, atau merasakan apa yang dikatakan oleh Tok Guru tidak betul, boleh berdebat untuk mencari titik kebenaran” katanya.

Tok Guru Nik Aziz mengulas sifat dan sikap pemimpin dan perjuangan UMNO seperti ajaran sesat Ayah Pin dan Komunis ketika berceramah di Padang Majlis Daerah Laloh, Kelantan pada 21 Jun lalu.

Kenyataan beliau telah menimbulkan kegusaran dikalangan pemimpin UMNO yang menganggap ia boleh menimbulkan ketegangan serta berbaur hasutan .

Tok Guru mengatakan kenyataannya hanya kiasan atau perumpamaan, namun mengajak pemimpin UMNO terutamannya Presiden UMNO, Dato’ Seri Najib Razak untuk berdebat bagi mencari penyelesaian, mengapa UMNO tidak mahu kepada Islam.

Tiada ulasan: