UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR – Indonesia kekal dengan keputusannya untuk menghentikan sementara penghantaran pembantu rumah ke Malaysia sehingga satu kata putus dibuat menerusi perbincangan khas kedua-dua pihak minggu depan.
Duta Besar Indonesia di Malaysia, Tan Sri Da'i Bachtiar berkata, pihaknya belum yakin bahawa Malaysia boleh menjaga kebajikan pembantu rumahnya sehingga satu jaminan keselamatan termeterai dalam perbincangan khas itu.
Sehubungan itu, katanya, semua agensi pekerjaan di republik tersebut telah diarah untuk menghentikan sebarang aktiviti merekrut tenaga buruh baru khususnya pembantu rumah bagi dibekalkan ke negara ini.
“Bagaimanapun bagi bakal pembantu rumah yang sudah melalui proses pemilihan, kursus dan latihan yang dikendalikan agensi pekerjaan di Indonesia, mereka masih dibenarkan untuk di bawa masuk ke negara ini.
“Ini kerana mereka telah pun membayar wang kursus dan latihan pembantu rumah malah telah menghabiskan banyak masa untuk tujuan itu,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Keluarga Kedutaan Besar Indonesia di Malaysia di sini hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan