Oleh Azura Abdul Jalil
KUALA LUMPUR: “Anggaplah ini sebagai peluang untuk kamu insaf,” kata Hakim Zainal Abidin Kamarudin yang akan menjalankan sendiri hukuman rotan halus sebanyak 10 sebatan terhadap sepembantu jualan yang mengaku melakukan samun, November tahun lalu.
Hakim Zainal Abidin menjatuhkan hukuman itu mengikut Seksyen 293 (1) (c) Kanun Acara Jenayah terhadap Muhammad Syafiq Ab Wahab, 20, yang merompak telefon bimbit dan kad pengenalan mangsa berusia 16 tahun.
Hukuman rotan itu akan dilakukan hakim berkenaan di hadapan ibu bapa tertuduh pada 15 Julai ini.
Selain itu, tertuduh juga dijatuhkan hukuman menjalani program khidmat masyarakat selama 200 jam di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Lumpur.
Muhammad Syafiq dituduh merompak mangsa menggunakan pisau bersama rakannya yang masih bebas di belakang Stadium Bola Sepak, Cheras, di sini, jam 1.30 pagi, pada 16 November 2008.
Hakim Zainal Abidin ketika menjatuhkan hukuman itu berkata, hukuman itu setimpal dengan tertuduh memandangkan usianya masih muda.
“Namun ini bukan tiket untuk kamu mengulangi kesalahan itu dan awak sepatutnya insaf.
“Mahkamah beri peluang ini untuk awak buktikan kepada keluarga awak mampu jadi manusia berguna. Lain kali gunakan otak untuk buat tindakan,” katanya.
Terdahulu, ketika ditanya mengapa tertuduh merompak mangsa, dia didesak oleh rakannya kerana bosan.
HAKIM: Jika melihat kepada alasan awak ini, mahkamah berhak menjatuhkan hukuman berat kerana awak sengaja melakukan jenayah itu. Kawan awak berjaya melarikan diri, awak menanggung akibatnya. Awak menggunakan kekerasan dengan menyepak dan menendang mangsa, awak tidak kesian dengan mangsa ketika melakukan perbuatan itu?
MUHAMMAD: Saya tidak tendang mangsa tetapi meminta secara baik. Saya cuma minta beg duit dan periksa kad pengenalan dia. Bila dia tidak bagi dan cuba lawan baru saya tampar dia.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fatt manakala tertuduh diwakili peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud dan Dony Abdullah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan