HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 Jun 2009

Kaedah Agih Subsidi Diesel Kepada Nelayan Dikaji - Noh

BERNAMA


SEMPORNA -- Kerajaan sedang mengkaji semula kaedah untuk mengagihkan diesel dan petrol subsidi kepada nelayan bagi memastikan kemudahan yang diberi kerajaan itu benar-benar dirasai kumpulan berkenaan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Noh Omar berkata kajian untuk mencari kaedah terbaik pengagihan itu juga dibuat bagi mengurangkan kes penyelewengan diesel dan petrol subsidi di kalangan pihak tidak bertanggungjawab.

"Ini memang satu keutamaan yang saya tekankan kepada kementerian saya sebab bajet yang diberikan kepada kementerian ini untuk subsidi, insentif dan bantuan amat banyak. Semua yang kerajaan berikan ini adalah untuk kemudahan dan membela nasib rakyat.

"Sebab itu kita mahu pastikan supaya setiap sen yang kerajaan keluarkan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan dialog dengan anggota Persatuan Nelayan Kawasan Semporna, Lahad Datu, Kunak dan Tawau di sini, Sabtu.

Beliau berkata dalam dialog hari ini juga, ada yang membangkitkan bahawa kos yang dibelanja untuk mendapatkan minyak subsidi dari stesen minyak lebih tinggi daripada hasil yang diperoleh.

Masalah itu timbul kerana lokasi nelayan untuk mendapatkan minyak subsidi dari stesen minyak yang ditetapkan terlalu jauh dari kediaman mereka, katanya.

Sehubungan itu, Noh berkata antara perkara yang akan dipertimbangkan dalam kajian semula itu ialah kemungkinan menyediakan stesen minyak subsidi di jeti tertentu termasuk jeti pendaratan ikan.

"Ini kita sedang bincang untuk dilaksanakan bukan sahaja di Sabah tetapi di seluruh negara. Inilah yang kementerian saya sedang kaji supaya ia betul-betul dapat dinikmati oleh rakyat," katanya.

Noh berkata pihaknya juga sedang mengkaji kaedah pembayaran insentif tangkapan nelayan iaitu 10 sen bagi setiap kilogram sama ada melalui pembayaran harian, mingguan atau jika sesuai ia bayar setiap bulan.

1 ulasan:

mohad berkata...

yang miskin patut di beri bantuan..