BERNAMA
SUNGAI PETANI -- Kementerian Sumber Manusia menolak cadangan Cuepacs supaya diadakan sudut khas merokok di setiap jabatan kerajaan bagi memastikan kesan larangan merokok tidak menjejaskan prestasi penjawat awam.
Menteri berkenaan Datuk Dr S. Subramaniam berkata kerajaan akan tetap bertegas dengan peraturan dan larangan merokok di semua jabatan dan agensinya.
"Kebanyakan jabatan kerajaan tidak menggalakkan merokok kerana telah menjadi dasar selain bertujuan mencegah ia menjadi budaya pegawai kerajaan," katanya kepada pemberita selepas konvensyen Badan Perhubungan MIC Kedah di sini, Sabtu.
Konvensyen ke-63 itu dirasmikan presiden parti, Datuk Seri S. Samy Vellu dan disertai lebih 300 perwakilan dari seluruh negeri.
Cuepacs baru-baru ini mencadangkan satu sudut khas merokok diwujudkan di setiap jabatan sebagai langkah memastikan prestasi penjawat awam yang merokok tidak terjejas akibat larangan itu.
Dr Subramanim berkata jika cadangan itu diterima seolah-olah kerajaan menggalakkan budaya merokok walaupun tidak secara meluas selain bertentangan dengan dasar.
"Pelbagai kempen dan program pemulihan dilancarkan tetapi budaya merokok masih tidak boleh dihentikan dan ini amat menyedihkan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan