SINAR HARIAN ONLINE
KUALA LUMPUR- Kebanjiran buruh asing di dalam negara mengakibatkan ruang untuk bekas penagih memulakan hidup baru sedikit sebanyak terganggu kerana kesukaran memperolehi pekerjaan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, pandangan masyarakat terhadap bekas penagih sangat mendukacitakan sehingga mereka gagal memperoleh sebarang pekerjaan setelah keluar dari pusat serenti.
“Perkara ini amat membimbangkan kerana ia boleh menyebabkan golongan ini terdedah semula dengan gejala yang tidak sihat ini.
“Bagi merealisasikan perkara tersebut, Pemuda UMNO akan mengadakan mesyuarat bersama- sama dengan kementerian yang terlibat bagi membawa perkara ini untuk mencapai jalan penyelesaian,” katanya kepada media selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Terapi Kekeluargaan Pusat Serenti Sungai Besi di sini, semalam.
Sambutan itu diadakan bagi meraikan kejayaan bekas penagih bebas daripada dadah dan seramai 60 bekas pelatih dipilih untuk menerima Anugerah Kepulihan Cemerlang. Keluarga pelatih Pusat Serenti tersebut turut di undang untuk memeriahkan majlis tersebut.
Razali berkata, Kementerian Sumber Manusia mewujudkan Skim Pekerja Asing dan sewajarnya mewujudkan skim pekerja bekas penagih.
“Ia memerlukan perbincangan lanjut dengan pelbagai kementerian bagi membantu golongan ini terus dapat berkhidmat kepada negara walaupun di sektor perladangan, pembinaan dan industri pembuatan,” katanya.
Ketika mengulas keengganan majikan memberikan kerjasama terhadap bekas penagih, Razali menyifatkan majikan tersebut mempunyai masalah.
“Apa bezanya mereka dengan kita? Mereka juga rakyat negara ini yang tidak boleh disisihkan dan majikan perlu membuang stereotaip terhadap mereka,” katanya.
Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO berkata, selain dapat menyekat wang keluar ke negara buruh asing, ia memudahkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) memantau perkembangan dan pergerakan mereka dengan sistematik.
“Jika perkara ini berjaya dilaksanakan, dengan mudah AADK dapat memantau mereka berbanding sekarang, AADK perlu menjejaki mereka sekiranya tidak lapor diri setiap bulan,” katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan