Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
KUALA LUMPUR: Golongan lelaki berperwatakan lembut sanggup menggunakan sejenis krim hormon ajaib yang didakwa mampu menukar bentuk tubuh mereka kepada wanita dalam tempoh hanya 24 jam.
Krim hormon mencecah RM800 yang dikilangkan secara haram di pinggir ibu kota itu didakwa mampu menumbuhkan payudara selain menyebabkan individu yang memakainya berubah menjadi montok mengalahkan wanita sejati.
Difahamkan, krim hormon haram itu dikesan mula dijual beberapa salun kecantikan yang menyedari krim berkenaan mendapat permintaan tinggi daripada golongan itu yang `terdesak' untuk mengubah jantina tanpa membuang alat kelamin.
Kegiatan salun menjual hormon wanita haram itu dikesan selepas Bahagian Penguat Kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan serbuan mengejut kira-kira jam 11 pagi, beberapa hari lalu di premis yang terletak di Chow Kit, di sini.
Sumber berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya mendapat maklumat pemilik salun itu menjual hormon yang didapati tidak berdaftar dengan KKM.
“Hasil pemeriksaan, pegawai farmasi menemui beberapa tiub berbentuk alat suntikan yang mempunyai krim berwarna putih di dalamnya. Bagaimanapun, selepas disiasat krim itu hormon progesterone dan testosterone,” katanya.
Menurutnya, salun berkenaan milik seorang wanita dipercayai menjalankan kegiatan menjual dan menyapu krim berkenaan pada tubuh dan wajah pelanggan dengan mengenakan bayaran tinggi.
“Hasil pemeriksaan di salun terbabit, pegawai farmasi merampas 15 picagari mengandungi krim berkenaan yang disimpan dalam kotak.
“Semua krim itu dianggarkan bernilai RM4,000 dan dipercayai dibekalkan sebuah syarikat tempatan di Jalan Klang Lama yang mengilangnya secara haram,” katanya.
Menurutnya, pihak berkuasa berusaha menjejaki kilang berkenaan sebelum melakukan serbuan mengejut dan mendapati premis terbabit menghasilkan produk tidak dilesenkan.
“Hasil serbuan itu, pegawai Farmasi merampas lebih 100 picagari dan pelbagai bahan mentah diseludup yang dikenal pasti digunakan untuk menghasilkan krim hormon berkenaan. Semua rampasan dianggarkan bernilai RM50,000,” katanya.
Krim hormon haram itu dikesan berbahaya berikutan ia boleh menyebabkan emosi tidak stabil serta meningkatkan sel darah merah dalam tubuh. Ia juga boleh menyebabkan kemandulan jika diambil diambil secara tetap.
Krim hormon tidak berdaftar dengan KKM itu turut berupaya merangsang penyakit berbahaya pada payudara, alat sulit hingga membawa kepada risiko kanser.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan