HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 Jun 2009

Kaitkan Umno dengan komunis hanya kiasan - Nik Aziz

BERNAMA


KOTA BHARU: Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata kenyataannya pada 21 Jun lepas mengaitkan Umno dengan komunis dan ajaran sesat, hanyalah satu kiasan atau perumpamaan.

"Boleh jadi kerana saya kata nationalis dan komunis itu serupa, begitu juga dengan ajaran sesat, (bagi saya) semua fahaman yang menolak Islam, semuanya kita panggil ajaran sesat," katanya kepada Bernama di sini hari ini bagi menjelaskan ucapannya pada satu ceramah di Kuala Krai apabila beliau menyamakan perjuangan Umno seperti ajaran sesat Ayah Pin dan menyamakan Umno sebagai mempunyai ideologi sosialis kerana menolak agama dan prinsip ketuhanan.

Ekoran itu, Ketua Pemuda Umno Kelantan, Anuar Safian semalam, membuat laporan polis kerana menganggap kenyataan Nik Aziz itu berbaur hasutan dan boleh mencetuskan ketengangan.

Nik Abdul Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan, berkata beliau sedia menghadapi tindakan dan menjawab segala tuduhan Pemuda Umno.

Katanya beliau tidak takut kerana kenyataannya itu dibuat lebih berasaskan kepada kiasan terhadap sesuatu yang sesuai pada pandangannya.

Di Kuala Lumpur, Setiausaha Badan Perhubungan Umno WIlayah Persekutuan Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata Nik Aziz menjatuhkan harga dirinya sendiri dengan membuat tuduhan itu.

Sambil menggesa Nik Abdul Aziz segera meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan, Syed Ali berkata beliau tidak menolak kemungkinan Menteri Besar itu telah diperalat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga DAP untuk menghancurkan perpaduan Melayu.

Syed Ali meminta kepimpinan Pas menasihati Nik Aziz agar mengawal percakapannya bagi mengelak berlakunya perpecahan umat Islam.

Tiada ulasan: