HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Jun 2009

Video Rosmah: Polis siasat Badrul

Jimadie Shah Othman


Seorang pemimpin PKR mendakwa dihubungi dua anggota polis Cawangan Khas berhubung video yang memburuk-burukkan isteri perdana menteri, Rosmah Mansor yang kini tersebar luas di internet.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Badrul Hisham Shaharin berkata, beliau dihubungi mereka – dipercayai dari Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan – berhubung penerbitan video klip itu.

"Saya kata, saya tidak tahu tentang penerbitan video itu. Saya dapat tahu pun selepas baca blog Selamatkan Umno dan Malaysia Today.

"Saya cuma muatkan balik dalam blog saya selepas itu. Terpulanglah kepada pembaca (untuk menilainya)," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Badrul Hisham berkata, beliau pertama kali dihubungi anggota polis Kuala Lumpur, yang dikenalinya, pada hari awal minggu lalu.

Sehari selepas itu, tambahnya, beliau dihubungi pula seorang lagi anggota polis cawangan itu dari Negeri Sembilan - juga dikenalinya - bagi mencari siapakah pihak di belakang penerbitan video itu.

Dalam perbualan telefon kira-kira sepuluh minit itu, Badrul Hisham berkata, beliau telah memberitahu pihak berkuasa bahawa beliau tidak terlibat dan tidak tahu-menahu pihak yang terlibat menerbitkan siri dokumentari pendek itu dalam bentuk video.

Malaysiakini minggu lalu melaporkan, sejak awal bulan ini, video itu memberikan label liar "perempuan puaka" terhadap isteri Datuk Seri Najib Razak.

Badrul Hisham juga berkata, dalam perbualan itu, beliau turut disoal sama ada mengenali ahli keluarga dan jiran Rosmah yang diwawancara dalam video itu.

"Sebagai orang negeri Sembilan, pernah terlibat dengan (aktivisme) belia di Sikamat, tentu saya kenal balu bekas speaker DUN (Datuk Ariffin Ali).

"Tetapi dia (Che Mah) tentulah tidak kenal saya.

"Macam saya kenal Najib, kalau tanya dia siapa Cikgu Bad, mesti beliau tidak tahu," katanya, sambil berkata dua polis tersebut sering menghubungi sebelum ini.

Diminta mengulas kontroversi video itu, Badrul Hisham berkata:

"Perkara itu tidak perlu penyiasatan polis. Ia cuma cerita sensasi yang tidak perlu (campur tangan) polis.

"Cukuplah orang yang terlibat menafikannya."

Tiada ulasan: