Oleh Safuri Kamarudin
BALING: Arwah bapanya, Koperal Md Aznan Awang boleh dianggap wira negara apabila terkorban ketika menggalas tugas misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Somalia pada 1993.
Bagaimanapun, 16 tahun berlalu selepas wira negara itu terbunuh dalam pertempuran dengan puak pemisah di negara itu, anak tunggalnya, Norashimah Md Adnan, 20, terpaksa berhempas pulas mencari sesuap nasi tanpa mendapat perhatian mana-mana pihak.
Norashimah yang berusia empat tahun ketika pemergian bapanya kini tinggal di Kampung Sungai Limau, mukim Pulai, berkata kehidupannya hanya bergantung dengan menjual burger di tepi jalan di Baling Kota Jaya, Pulai untuk menyara ibu, Siti Zawiyah Yahya, 43, dan anak kecilnya berusia tujuh bulan.
Dia berkata, ketika bapanya terbunuh dia tidak tahu apa-apa kerana masih terlalu kecil sehingga usianya menjangkau tujuh tahun barulah mengerti kehidupan yang dilalui tanpa mendapat kasih sayang seorang ayah.
“Ketika berusia tujuh tahun barulah saya diberitahu bapa meninggal dunia ketika berjuang di negara orang dan kehidupan harian bergantung kepada kasih sayang ibu yang memberi perhatian setiap hari sehinggalah sekarang,” katanya.
Menurutnya, dia berkahwin ketika berusia 18 tahun tetapi jodoh mereka tidak panjang apabila berpisah tahun lalu selepas melahirkan anak lelaki, Mohd Adam Haziq Mukriz Mohd Nazif kini berusia tujuh bulan.
“Selepas berpisah kehidupan saya terumbang-ambing kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap sehingga bertekad membuka gerai menjual burger di tepi jalan Baling Kota jaya untuk mencari nafkah.
“Saya menjalankan perniagaan ini untuk membeli barangan keperluan harian dan untuk bayi saya seperti seperti susu dan lampin pakai buang,” katanya.
Norashimah berkata, dia tinggal bersama ibunya kerana tidak mempunyai rumah lain selain anaknya terpaksa dijaga ibunya setiap hari ketika dia keluar mencari rezeki.
Norashimah memulakan perniagaan pada jam 5 petang sehingga 10 malam setiap hari dengan dibantu saudaranya, Mohd Hafifuddin Ishak, 25.
Norashimah berkata, walaupun bapanya mendapat Pingat Gagah Berani (PGB), namun tidak ada apa yang keluarganya banggakan kerana hidup mereka cukup menyedihkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan