Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN
PETALING JAYA: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menggesa kerajaan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
"Kita sekali lagi ulangi desakan ini. Kita tuntut Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin, jangan lengah-lengahkan lagi dan laksanakan segera dasar pendidikan kebangsaan dengan mengembalikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mendaulatkannya sebagai bahasa rasmi dalam sistem pendidikan kita.
"Kita minta mereka (kerajaan BN) kembali mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah kebangsaan dalam Bahasa Melayu," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu hari ini.
Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat berkata parti itu turut menggesa kerajaan BN, mengembalikan pengajaran Sains dan Matematik di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil dalam bahasa ibunda masing-masing.
Menurutnya, perkara tersebut telah menjadi satu kontroversi sejak memberi kesan negatif apabila berlakunya kemerosotan serius dalam penguasaan Sains dan Matematik di kalangan pelajar yang di luar bandar.
"Ini kami anggap pengkhianatan terhadap dasar bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di negara ini," katanya.
Minggu lalu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, keputusan mengenai PPSMI akan diumumkan awal bulan depan selepas analisis pelaksanaan dasar tersebut dibentangkan kepada Kabinet.
Menurut Muhyiddin, analisis menyeluruh dan kertas mengenai hala tuju PPSMI sudah siap dan akan dibentangkan kepada Kabinet untuk mendapatkan keputusan muktamad mengenainya.
Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan Anwar yang Ketua Pembangkang di Parlimen berkata, PKR bersetuju dengan cadangan kerajaan BN untuk mempertingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di sekolah terutamanya di peringkat menengah dan institusi pengajian tinggi.
"Ini boleh dilakukan dengan meningkatkan penguasaan guru-guru Bahasa Inggeris terutamanya di kawasan pendalaman.
"Tapi kita ingin beri amaran kepada BN jangan melakukan kesilapan besar untuk mewajibkan kelulusan Bahasa Inggeris di peringkat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) secara terburu-buru kerana ini akan membebankan pelajar di sekolah luar bandar," katanya.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata berharap kerajaan telus dalam melaksanakan dasar memberikan biasiswa nasional yang berdasarkan sepenuhnya kepada merit.
"Mereka (kerajaan BN) harus ada program yang mengambil kira hak semua rakyat mengikut kemahiran dan kepakaran masing-masing. Di samping itu, kita harus membantu rakyat miskin yang terpinggir, golongan seperti ini harus dibantu," katanya ketika diminta mengulas mengenai cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang mahu pemberian biasiswa berasaskan kepada merit mulai tahun depan.
Semalam, Najib berkata biasiswa tersebut akan diberikan kepada pelajar-pelajar terbaik yang layak dan tanpa mengira kaum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan