UTUSAN ONLINE
KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan pendiriannya untuk berdebat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, malah akan tetap menghantar surat mempelawa mengadakannya secara terbuka.
Beliau kecewa dengan penolakan pemimpin UMNO terhadap cadangan itu atas alasan membuang masa dan tidak memberikan sebarang faedah.
"Sekiranya benar UMNO memperjuangkan Islam, ia tidak harus bersalut dengan fahaman lain (kebangsaan) yang menyebabkan keadaan bercelaru dan tidak menjadikan Pas sebagai seteru.
"Islam macam mana (UMNO)? Dia lawan kami, dasar kami terang-terangan Islam. Kalau UMNO Islam juga, tak payah lawan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.
Katanya lagi, surat itu akan dihantar kepada Perdana Menteri lusa.
Nik Aziz turut menafikan cadangan debat itu dibuat untuk kepentingan politik menjelang Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.
Semalam, dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan cadangan debat itu bukan pendekatan yang baik bagi menyelesaikan isu yang menyentuh kepentingan umat Islam di negara ini.
Dr. Mahathir menganggap debat terbuka hanya membuang masa manakala Abdullah merasakan lebih baik jika kedua-dua pemimpin parti Melayu itu duduk berbincang dalam semangat persaudaraan sesama Islam.
Ditanya mengapa tidak diambil pendekatan muzakarah sebagai jalan terbaik, Nik Aziz berkata, ia tidak akan menyelesaikan isu umat Islam.
''Saya nak minta tentukan kenapa orang Melayu yang sudah beragama Islam tolak dasar Islam. Debat selaras dengan tuntutan Allah selepas nasihat, ceramah dan bila hikmah dilakukan.
''Bagaimana nak abdi kepada Allah melainkan menerusi nabi yang membawa Islam bersama iman dan ishan. Bila kita buat pandai-pandai dengan nasionalis, sosialis, demokrasi, habis kacau," ujarnya.
Beliau percaya, debat tidak terarah kepada perbalahan dan menyifatkan ia sebagaimana prosedur mahkamah dengan peguam dan pendakwa masing-masing berhujah mencari kebenaran sebelum diputuskan.
Ditanya sama ada akan terus menutup 'pintu' bagi menyelesaikan kemelut umat Islam dan ummah keseluruhannya, beliau berkata:
''Saya minta satu sahaja (debat), yang lain, kita kira semula. Orang tolak debat, kita henti dulu.''
Menyentuh pendirian kerasnya menolak gagasan perpaduan melalui hubungan dua parti sebelum ini, Nik Aziz menegaskan, dengan kedudukan itulah, beliau sebenarnya lebih inginkan perpaduan.
''Tetapi perpaduan berasaskan Islam. Nabi sendiri menentang bapa saudara, bapa mertua kerana perjuangkan Islam sehingga kena halau ke Madinah.
''Saya hendak bersatu, tetapi atas dasar apa, gangster juga bersatu. Ah long juga bersatu. Benda ini akan jadi bekal akhirat. semua manusia nak bersatu lebih-lebih lagi Islam kerana ia agama menyatukan dengan hala tuju yang jelas," ujarnya.
Katanya lagi, soal perpecahan akan sentiasa berterusan melainkan semua pihak bersatu tujuan menjadi hamba Allah yang setia dan segala kebaikan akan muncul bersama itu.
Ditanya mengapa beliau seolah-olah tunduk kepada kepentingan pakatan pembangkang dan bukannya kepentingan umat Islam sehingga menolak gagasan perpaduan, Nik Abdul Aziz menjelaskan;
''Kalau Melayu sahaja bukan ummah, kerana ummah adalah seluruh rakyat. Perjuangan ummah lebih bermakna dalam pakatan berbanding dengan perpaduan yang dianjurkan.''
Tiada ulasan:
Catat Ulasan