HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 Jun 2009

Isteri bergaji lebih tinggi meningkat

Oleh Nor Azma Laila


KUALA LUMPUR: Fenomena isteri berpendapatan lebih tinggi daripada suami semakin meningkat kerana pelajar perempuan mendominasi kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan mendapat pekerjaan dengan gaji lebih lumayan.

Pensyarah Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Zulkiple Abd Ghani, berkata fenomena itu dijangka terus meningkat kerana lebih ramai pelajar perempuan menuntut di universiti atau kolej.

"Statistik kemasukan sesi Julai 2008 menunjukkan 243,378 pelajar perempuan memasuki IPTA berbanding 159,631 lelaki.

"Berikutan itu, pelajar perempuan lebih berpotensi mendapat kerjaya lebih baik dengan gaji lumayan berbanding lelaki kerana mereka mempunyai kelulusan lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas ceramah 'Bapa dan Pekerjaan' pada Kursus Bersiri Pembangunan Keluarga, Ilmu Keluarga di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), di sini semalam.

Zulkiple berkata, kecanggihan teknologi juga menyumbang kepada fenomena itu, sekali gus membolehkan wanita melakukan kerja yang dulunya hanya mampu dilakukan lelaki.

"Selain itu, sikap wanita yang mempunyai konsep pandai memujuk membantu mereka mencapai kejayaan dalam pekerjaan jualan langsung yang tidak dinafikan memberikan pulangan lumayan," katanya.

Beliau berkata, fenomena itu harus diatasi supaya tidak timbul masalah dalam institusi keluarga pada masa depan kerana ia mendorong lebih ramai suami mengambil alih tugas isteri sebagai suri rumah.

"Ada perbincangan untuk mengatasi masalah pelajar perempuan lebih ramai daripada pelajar lelaki di IPT, tetapi belum ada keputusan dibuat. Malah, kaedah kuota atau nisbah kemasukan pelajar lelaki dan perempuan di IPT juga belum digunakan secara ketara," katanya.

Tiada ulasan: