HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 Jun 2009

Lelaki dakwa dipukul pengawal keselamatan hospital

BERNAMA


KUANTAN: Seorang penjaga stor cat menerima tujuh jahitan selepas dipukul seorang pengawal keselamatan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dengan objek tajam dalam satu kejadian di Wad Lapan hospital itu, semalam.

Mangsa, Syed Nazrulhisyam Syed Abdul Rahim, 24, mendakwa beliau dipukul selepas menghalang seorang pengawal keselamatan di situ yang dilihatnya cuba memukul bapanya dengan sebatang cotar kira-kira pukul 8.45 malam tadi.

"Saya amat terkejut melihat bapa saya dimarahi seorang pengawal keselamatan dengan nada suara yang kasar. Pengawal itu kemudiannya dilihat cuba memukul bapa saya dengan sebatang cotar.

"Saya cuba menghalang tindakan tersebut, tetapi saya pula dipegang oleh empat pengawal keselamatan yang lain dan seorang daripada mereka kemudiannya memukul saya dengan objek tajam di bahagian kening sebelah kanan dan kepala," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Syed Nazrulhisyam berkata beliau kemudiannya mendapat rawatan di hospital itu dengan menerima tujuh jahitan di bahagian kening dan kepala.

Difahamkan kejadian itu disebabkan pengawal keselamatan berkenaan memarahi bapa mangsa yang dikatakan mahu melawat seorang lagi anak lelakinya yang sedang menerima rawatan di hospital itu. Pengawal itu memarahi bapa mangsa berikutan tempoh waktu melawat pesakit telah tamat.

Syed Nazrulhisyam membuat satu laporan polis di Balai Polis Daerah Kuantan berhubung kejadian itu awal pagi tadi.

Tiada ulasan: