HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Jun 2009

40 Tahun Terasa Macam Semalam

A Kadir Jasin


APABILA kita seronok atau asyik melakukan sesuatu, masa berlalu begitu pantas dan tanpa kita sedari.

Hanya apabila seorang wartawan muda menemu bual saya beberapa hari lalu, baru saya teringat bahawa bulan ini genaplah 40 tahun saya menjadi wartawan. Minta maaflah kalau bunyi macam masuk bakul angkat sendiri. Nostalgia!

Perjalanan ini bermula pada 16 Jun, 1969 apabila saya menyertai Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai pemberita kadet atau pada waktu itu lebih dikenali sebagai “cub reporter.”

Pejabat Bernama pada waktu itu hanyalah sebuah banglo dua tingkat di Circular Road yang kemudian ditukar menjadi Jalan Pekeliling dan kini dikenali sebagai Jalan Tun Abdul Razak.

Antara rakan sepengambilan saya adalah Hashim Makaruddin (Tan Sri) yang kini Pengerusi Utusan Melayu Berhad, Mervin Nambiar (Pengarah Jualan dan Pemasaran AFP Asia-Pasifik, Hong Kong), Nor Amanah (berhijrah ke Australia), Tan Jooi Long (rakan sedarjah di Kolej Sutlan Abdul Hamid) dan Cecelia Surin.

Saya cukup bernasib baik kerana pada waktu itu Bernama mengamalkan dasar dwibahasa – Melayu dan Inggeris – dan kami mempunyai mentor di kalangan wartawan kanan seperti Mazlan Nordin (Tan Sri), mendiang Chang Yen Fooi, Abdul Wahab Majid (Datuk), Allahyarham Nordin Zainuddin, Alias Ali (Datuk), Musa Scully, Goldin Miranda dan ramai lagi.

Saya juga bernasib baik diberi keyakinan membuat liputan pemimpin kanan seperti Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra dan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein awal-awal kerjaya saya.

Mentor saya waktu itu adalah Ahmad Rejal Arbee (Datuk) yang kemudian menjadi Ketua Pengarang Bernama. Kami kerap keluar membuat “assignment” bersama-sama dengan menaiki kereta Austin Healey Sprite tanpa bumbung milik beliau.

Hebat bila berambut panjang menaiki kereta tanpa bumbung!

Saya juga bertuah mendapat latihan dan bimbingan daripada Allahyarham Tan Sri A Samad Ismail, mendiang Tan Sri Lee Siew Yee, Allahyarham Tan Sri Nordin Sophie dan mendiang Felix Abisheganadan apabila saya menyertai Kumpulan New Straits Times pada tahun 1976.

Apa yang boleh saya katakan adalah dunia kewartawanan yang saya ceburi 40 tahun lalu itu amat berlainan dengan dunia kewartawanan sekarang yang serba canggih tetapi terlalu sensasi dan penuh cerita skandal.

Masa berlalu, zaman berubah.

Tiada ulasan: