TV SELANGOR
Ketua Pembangkang Selangor, Khir Toyo akan mengetahui nasibnya apabila cadangan menggantung Adun Sungai Panjang itu dikemukakan di persidangan dewan undang negeri, minggu depan.
Speaker DUN Selangor, Teng Chang Khim berkata tindakan ke atas Khir akan diputuskan pada sidang dewan yang akan bermula 8 Julai ini dan kedudukannya akan diputuskan pada sidang kali ini.
Khir yang didapati bersalah kerana melanggar peraturan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN, menghadapi tindakan gantung selama setahun, termasuk elaunnya sebagai wakil rakyat.
Menurut Teng, Bekas Menteri Besar itu akan dibenarkan menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri yang akan berlangsung minggu depan.
"cadangan untuk mengantung ketua pembangkang diputuskan oleh jawatankuasa hal dan kebebasan, keputusan hanya merupakan syor yang hendaklah diperakui oleh sidang dewan undangan negeri, sekirannya usul dibahas pada sidang kali ini, akan buat keputusan untuk menerima syor tersebut, membuat pindaan atau menolak, itu boleh berlaku," katanya.
Khir bersama isterinya, Zaharah Kechik enggan hadir pada perbicaraan awam Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) berhubung isu Balkis, Mac lalu.
Selain Khir, empat lagi Adun BN turut menghadapi tindakan kerana menghina dewan dengan mengeluarkan kenyataan media, mempertikaikan perbicaraan awam Selcat.
Mengenai Datin Seri Zaharah, Teng berkata laporan polis ke atas isteri menteri besar itu telah dibuat oleh setiausaha dewan undangan negeri dan pihaknya masih menunggu siasatan lanjut daripada pihak polis.
"Laporan polis terhadap datin zahara kecik telah dibuat oleh setiausaha dewan undangan jadi proses untuk siasatan selanjutnya untuk pendakwaan ia akan dijalankan oleh pihak polis dalam soal siasatan. Sementara itu pihak pejabat pendakwa raya akan memutuskan untuk mendakwa beliau atau tidak itu diluar bidang kuasa dun undangan negeri," jelasnya
Pada Sidang Dewan Undangan Negeri kali ini, Teng berkata pihaknya menerima sebanyak 414 soalan bertulis dan telah diagihkan kepada jabatan berkaitan untuk menyediakan jawapan.
Sebanyak tiga usul akan dibincangkan, antaranya tindakan polis terhadap perhimpunan awam, Zon Bebas Cukai Pelabuhan Klang dan pengantungan gambar Menteri Besar di pejabat kerajaan persekutuan di negeri ini.
Selain itu, persidangan kali ini juga akan meraikan sambutan 50 tahun dewan undangan negeri Selangor dengan pelbagai program sepanjang tahun ini.
"program-program yang ada itu termasuk perdebatan mahasiswa, penerbitan buku dan video, pameran yang akan diadakan dengan muzium Selangor, ini adalah program yang telah dirancang sepanjang tahun untuk sambutan ke 50 tahun DUN," katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan