Harakahdaily
KUALA LUMPUR - Forum bertajuk ' Dasar PPSMI (pembelajaran dan pendidikan sains dan matematik dalam bahasa inggeris) dari segi falsafah pendidikan' akan berlangsung malam ini di Dewan Perhimpunan Cina, Kuala Lumpur.
Forum yang akan bermula jam 8.30 malam ini, akan menampilkan tokoh bahasa terkenal iaitu Pengerusi Gerakan Pemansuhan PPSMI (GMP) dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dato' Dr. Hassan Ahmad sebagai ahli panel.
Selain itu, turut hadir sebagai pembicara forum malam ini ialah Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia Chong Fah Hing dan pengamat kajian bahasa K. Arumugam.
Orang ramai adalah dijemput hadir bagi menyaksikan dan mendengar perbincangan penuh maklumat dan ilmiah berhubung kajian terhadap kesan PPSMI kepada para pelajar yang mendapat bantahan di negara ini.
Sementara itu, Setiausaha PPSMI (GMP), Hasni Abas dilaporkan sebagai berkata mahu pemansuhan PPSMI dilakukan segera setelah mengambil kira pendapat dan nasihat seluruh rakyat Malaysia.
"Kerajaan melaungkan slogan 1Malaysia sebagai teras kepada perpaduan dan kemajuan negara. Oleh yang demikian slogan tersebut mesti didokong dan dibuktikan melalui keputusan tersebut," katanya dalam satu temubual online.
Sementara itu Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat berkata beliau yakin kerajaan akan mengumumkan keputusan PPSMI pada tempoh masa yang mereka janjikan.
Namun begitu, beliau tidak dapat meneka akan keputusan yang bakal diambil kerana kerajaan tidak memberi sebarang gambaran awal keputusan mereka.
Suhaizan menambah dalam laman blognya, bantahan lebih hebat akan meledak di seluruh negara jika PPSMI tetap diteruskan dan kemungkinan besar satu perhimpunan membantah PPSMI seperti pada 7 Mac lalu akan berulang. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan