HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Jun 2009

Pegawai koma diserang anjing

Haiwan dikuarantin, pemilik kena RM200

BERITA HARIAN ONLINE


TELUK INTAN: Pegawai penguat kuasa cukai taksiran Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) koma selepas diserang anjing ketika mangsa menjalankan tugas di Taman Ikhlas di sini, kelmarin.

Valdev Singh Dabra Singh, 54, parah di leher, muka dan patah tangan kiri diserang anjing ketika mengunjungi sebuah rumah di situ.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, anjing itu menerkam leher mangsa yang sedang berbincang dengan pemilik rumah berkenaan bersama beberapa pegawai penguat kuasa lain.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang, mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Beliau berkata, pihaknya sudah merujuk perkara itu kepada Jabatan Haiwan untuk tindakan susulan.

Sementara itu, sumber MPTI berkata, mangsa bertugas pada Ahad bagi memudahkan urusan kerana kebanyakan penduduk berada di rumah.

Katanya, pegawai dan anggota penguat kuasa itu menasihatkan pemilik rumah membayar cukai sebelum tarikh akhir.

"Kejadian berlaku begitu pantas sehingga tuan rumah dan rakan sekerja mangsa tidak dapat berbuat apa-apa," katanya.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan, tetapi keluarganya mahu merujuk mangsa ke hospital swasta di Kuala Lumpur, semalam.

Anjing berkenaan dikuarantin 14 hari oleh Jabatan Perkhidmatan Haiwan, manakala pemiliknya dikenakan kompaun RM200.

Tiada ulasan: