HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Jun 2009

Jadikan Manik Urai medan tautkan ukhuwah - Adun Paroi

Wan Nordin Wan Yaacob


KUALA LUMPUR - Seluruh ahli dan kepimpinan PAS diseru agar menjadikan kempen pilihan raya kecil Dun Manik Urai sebagai 'medan' menguatkan semula tautan ukhuwwah sesama mereka.

Demikian seruan AJK PAS Pusat yang baharu, Mohd Taufek Abdul Ghani kepada Harakah ketika ditemui di pejabatnya di Paroi baru-baru ini.

"Saya mengharapkan agar seluruh ahli dan kepimpinan menjadikan Manik Urai sebagai medan untuk mentautkan kembalik ukhuwwah antara kita selepas pemilihan pada muktamar lalu," katanya.

Beliau melihat, apa yang berlaku di situ isu yang menyentuh perselisihan antara pimpinan mengenai kerajaan perpaduan hanyalah mainan media semata.

Media milik Umno/BN sengaja melaga-lagakan kepimpinan PAS dalam usaha mereka untuk memberikan persepsi salah kepada rakyat setelah PAS kini diterima Islam dan bukan Islam, ujar Taufek yang juga Adun Paroi (dalam Parlimen Rembau).

Sebagai saf kepimpinan yang muda yang dibawa ke jawatankuasa pusat, beliau melihat apa yang berlaku adalah satu lagi pengalaman berharga untuk mematangkan PAS.

Menyentuh mengenai kempen di Manik Urai, PAS Negeri Sembilan ujarnya telahpun menghantar petugasnya sejak 16 Jun untuk berkempen di UPU Sungai Sok.

Kempen kali ini katanya tertumpu kepada kepakaran dalam perubatan tradisional yang telahpun dibuat dan berkesan pada prk Bukit Gantang lalu.

Beliau menaruh keyakinan bahawa PAS akan dapat mempertahankan kejayaan lalu di Manik Urai dengan calon yang sangat wibawa. - mks._

Tiada ulasan: