UTUSAN ONLINE
MELAKA - Industri pelancongan di negara ini mula menerima kesan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) apabila ramai pelancong dari China, Jepun dan Korea membatalkan tempahan pakej melawat Malaysia sepanjang Julai ini.
Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, laporan dari pejabat Tourism Malaysia di China memaklumkan 50 peratus tempahan melawat Malaysia telah dibatalkan.
Menurut beliau, di Jepun pula 2,000 pakej pelancongan melawat negara ini juga turut dibatalkan.
"Keadaan yang serupa juga berlaku di Korea, Taiwan dan Hong Kong apabila agensi-agensi pelancongan memaklumkan beberapa pakej pelancongan ke Malaysia mengalami nasib yang sama," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi taklimat pelancongan Melaka oleh Majlis Tindakan Pelancongan negeri di sini hari ini.
Menurut Yen Yen, kementerian menjangkakan kedatangan pelancong dari luar melawat negara ini akan terus berkurangan bermula bulan depan berdasarkan laporan yang diterima setakat ini.
Keadaan itu, kata beliau, jika tidak ditangani segera boleh menyebabkan industri pelancongan di negara ini akan terjejas teruk.
Tambahnya, satu mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Krisis Pelancongan akan diadakan di kementerian itu esok bagi mencari jalan terbaik menyelamatkan industri pelancongan di negara ini.
"Mesyuarat ini akan dihadiri oleh semua agensi berkaitan dengan pelancongan termasuk pemilik-pemilik hotel dan syarikat penerbangan," katanya.
Sementara itu, kata Yen Yen, industri pelancongan domestik menunjukkan peningkatan mendadak kerana rakyat negara ini tidak lagi melancong ke luar negara akibat penularan selesema babi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan