Irwan Muhammad Zain
KUALA LUMPUR - Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar menegaskan pemberian peruntukan RM1 juta kepada tunang pelakon antarabangsa kelahiran Ipoh, Dato' Michelle Yeoh itu merupakan satu penyalahgunaan kuasa dan bercanggah dengan kenyataan Menteri Pelancongan, Dato' Seri Dr Ng Yen Yen baru-baru ini yang menjelaskan Todt berkhidmat sebagai sukarelawan yang tidak dibayar apa-apa gaji.
Beliau juga turut mempersoalkan tindakan Kementerian Pelancongan yang menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada Dato' Seri Jean Todt sebagai duta pelancongan.
Mahfuz menegaskan, kementerian sepatutnya mengarahkan Lembaga Pembangunan Pelancongan (TDC) bagi menjalankan kerja-kerja mempromosikan Malaysia bukan kepada individu-individu seperti Todt.
"Sepatutnya TDC yang memainkan peranan yang lebih agresif dalam usaha untuk mempromosikan Malaysia kepada masyarakat luar. Kita tidak memerlukan individu seperti Todt untuk mempromosikan Malaysia kerana negara ini bukan terkenal dalam sukan permotoran. Wang sejumlah RM1 juta itu tidak akan memberi pulangan yang baik kepada pelancongan negara," tegas Mahfuz.
Mahfuz juga berkata biarpun Malaysia dikenali sebagai salah satu litar terkenal dalam perlumbaan F1, tetapi peranan yang boleh dimainkan oleh Jean Todt amat terhad kerana negara ini bukan jaguh terkenal dalam sukan permotoran.
Sementara itu, Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali mendakwa kementerian itu membelanjakan hampir RM1 juta dengan anggaran RM593,400 bagi mempromosikan negara dan memberi peruntukan sebanyak RM388,000 untuk percutian dalam negara serta sebidang tanah di Pulau Besar kepada Todt.
Azmin mendakwa beliau ada dokumen yang menunjukkan ada perhubungan antara Todt dan kementerian Pelancongan mengenai hal tanah.
Ng berkata Todt, bekas pengurus Formula 1 Ferrari dilantik sebagai duta Tourism Malaysia selama dua tahun pada Mei lepas. Beliau juga turut menolak dakwaan bahawa Todt diberikan sebidang tanah di Terengganu. - mks. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan