HALAMAN SANTAI

Selasa, 30 Jun 2009

Debat terbuka: Najib tolak jemputan Nik Aziz

Oleh G. MANIMARAN


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak menolak pelawaan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat minggu lalu yang menyatakan 'hasrat' mahu mengadakan debat terbuka dengan beliau.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, beliau menolak jemputan itu kerana berpendapat cara dan kaedah terbaik untuk menyelesaikan isu perbezaan politik antara Umno dan PAS atau masa depan umat Islam, negara dan kekalutan politik ntara kedua-dua parti ialah menerusi musyawarah.

"Saya tak nampak apa faedahnya debat ini. Saya nampak ramai tidak bersetuju dengan debat yang tak mendatangkan apa-apa faedah," kata Presiden Umno dipetik akhbar-akhbar tempatan hari ini.

Beliau ditemui wartawan di kediamannya di Putrajaya semalam.

Pemimpin-pemimpin Umno menolak pelawaan Nik Aziz itu tetapi disambut baik oleh pemimpin Pakatan Rakyat.

Najib yang sebelum ini berulang kali menyatakan kesediaan untuk membincangkan idea kerajaan perpaduan, yang dilontarkan semula oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang awal bulan ini tetapi ditolak Pakatan Rakyat minggu lalu, menambah:

"Soal masa depan umat Islam dan negara tidak boleh diselesaikan melalui debat.""Jalan terbaik bukan debat tapi forum bermusyawarah dan mengadakan perbincangan secara ikhlas untuk membincangkan masa depan umat Islam dan negara," kata Najib yang dilantik sebagai Perdana Menteri April lalu.

Najib menambah, kritikan dan unsur kutuk-mengutuk perlu dielakkan sebelum kedua-dua pihak boleh duduk berbincang.

"Janganlah kita mengutuk pihak lain. Jika kita sudah huna dan kutuk pihak lain, bererti orang kita ini tak nak cari kaiat sepakat sedangkan kesepakatan ini sangat penting untuk masa depan umat Islam dan negara," katanya.

KOMEN HADI

Semalam, Hadi berkata, beliau mahu mendapatkan penjelasan daripada Nik Abdul sebelum menyatakan pendiriannya mengenai syor untuk berdebat secara terbuka dengan Najib.

"Saya mahu dapatkan penjelasan dulu... saya kena hubungi (Nik Aziz) dulu," kata beliau ketika diajukan soalan tentang pendirian beliau ekoran hasrat Nik Aziz yang mahu mengadakan debat terbuka dengan Najib.

Hadi berkata, beliau perlu mendapatkan penjelasan Nik Aziz terlebih dahulu memandangkan apa yang dilaporkan dalam media "tidak lengkap."

Ketika ditanya adakah berpeluang mendapatkan kenyataannya petang ini, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, beliau tidak pasti bila dapat menghubungi Nik Aziz.

Minggu lalu Nik Aziz mencabar Najib untuk berdebat yang kononnya bagi menyelesaikan beberapa perkara seperti kerajaan perpaduan dan isu fitnah-memfitnah.

Nik Aziz dilaporkan berkata, pada debat itu beliau mewakili pemimpin Islam manakala Najib dianggapnya sebagai pemimpin sekular.

Dalam pada itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pula mengakui idea Menteri Besar Kelantan itu belum dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Pusat PAS setakat ini.

Sehubungan itu, beliau berpendapat cabaran Nik Aziz tersebut adalah atas kedudukannya sebagai Menteri Besar Kelantan.

"Saya melihat ia pandangan peribadi beliau sebagai Menteri Besar Kelantan," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan itu yang turut menyokong diadakan debat terbuka berbanding dialog.

"Debat terbuka itu adalah sesuatu yang baik... debat boleh diadakan dalam suasana yang baik. Saya sendiri pernah berdebat di Awani, RTM...," katanya beliau sambil menambah, perdebatan daidakan untuk mencari penyelesaian terhadap masalah yang wujud.

"Kita tidak patut takut (untuk mengadakan debat)," kata beliau lagi.

Bagaimanapun beliau menolak andaian bahawa debat yang disyorkan Nik Aziz tidak wajar memandangkan PAS dan Pakatan Rakyat telah menolak untuk mengadakan perbincangan mengenai kerajaan perpaduan minggu lalu.

Idea kerajaan perpaduan dilontarkan oleh Hadi dan ditentangkan oleh Nik Aziz."Kerajaan perpaduan dan debat ini dua isu yang berbeza... ini hal lain, (apa yang dinyatakan oleh Nik Aziz) yang mungkin termasuklah perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Negara," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kulim-Bandar Bharu, Zulkifli Nordin berkata, dialog adalah cara terbaik menyelesaikan soal Islam Umno ataupun PAS.

"Lebih sesuai diadakan dialog berbanding dengan debat (yang disyorkan Nik Aziz),” katanya.

"Dialog kita boleh kawal... ini kerana apa tujuan kita mengadakan perbincangan? Kita adakan perbincangan untuk mencari penyelesaian.

"Kalau kita hendak menyelesaikan masalah, kita adakan dialog. Ia lebih sesuai," katanya.

Ketika ditanya sama ada dialog perlu diadakan hanya antara Nik Aziz dan Najib, pemimpin PKR itu memberitahu, dialog boleh diadakan dalam bentuk berkumpulan dengan dimudahcarakan oleh individu bebas.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin Umno berpendapat Najib tidak patut dan tidak wajar melayan permintaan untuk mengadakan debat dengan Nik Aziz.

Nik Aziz sebelum ini mendakwa parti itu sama seperti ajaran sesat Ayah Pin dan pengganas komunis, Chin Peng, dalam ceramahnya di Manek Urai baru-baru ini.

Tiada ulasan: