HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Jun 2009

Kami tak takut

Oleh Abu Bakar Al Sidek


TELUK INTAN: “Sila ambil gambar kami bang! Siarlah dalam surat khabar...kami tak takut. Lagipun, kami nak berhenti sekolah,” itu antara kata-kata beberapa pelajar sekolah yang ponteng di lokasi tersembunyi sekitar pekan Sungai Manik, dekat sini.

Sekumpulan lima hingga enam pelajar terbabit turut melambaikan tangan sambil mengucapkan terima kasih kepada wartawan sebelum menunggang basikal meninggalkan lokasi persembunyian di sebuah ladang kelapa sawit selepas menukar pakaian sekolah.

Fenomena ponteng di kalangan pelajar sekolah menengah di kawasan bandar ini dan Taiping semakin teruk dan membimbangkan ibu bapa serta Jabatan Pendidikan Daerah Hilir Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Persekutuan (JKKP) Kampung Bahagia, Tajul Hasnan Mohd Rashid, 64, berkata gejala ponteng membabitkan beberapa sekolah menengah di bandar ini semakin serius sejak empat tahun lalu.

Beliau berkata, hairannya tidak ada tindakan diambil bagi mengatasi masalah itu oleh pihak berkaitan.

Katanya, pihaknya juga mengesan sekumpulan pelajar terbabit dipercayai berasal dari Kampung Bahagia serta Sungai Manik menjadikan kafe siber di beberapa pasar raya di bandar Taiping sebagai lokasi ‘berseronok’.

“Sebelum ke lokasi itu, mereka menjadikan beberapa kawasan kunci air seperti Kunci Air Sungai Suli, Kunci Air Kampung Kebun Limau dan rumah kosong sekitar Kampung Bahagia untuk menyalin pakaian.

“Saya sudah maklumkan perkara itu kepada Jabatan Pelajaran Daerah Hilir Perak dan ibu bapa pelajar terbabit, tetapi tidak ada tindakan diambil pihak berkenaan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Lebih mengecewakan, apabila aduan dibuat kepada ibu bapa, mereka membela anak masing-masing dan tidak mempercayai perbuatan itu dilakukan anak mereka.

“Ada ibu bapa mengatakan anak mereka ke sekolah dan pulang selepas waktu sekolah, tetapi tidak sedar mereka ditipu,” katanya.

Tajul Hasnan berkata, masalah itu pernah dibincangkan dalam mesyuarat JKKP dan sudah membuat aduan ke pejabat pendidikan daerah.

Namun, tidak ada sebarang tindakan diambil, malah kegiatan ponteng itu terus berlaku.

Tiada ulasan: