HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 Jun 2009

Lima anggota polis positif dadah ditahan

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Seorang Cif Inspektor adalah antara lima anggota polis yang ditahan kerana positif dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Kepong, Jinjang awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata kelima-lima mereka itu adalah antara 15 pegawai dan anggota polis daripada pelbagai cawangan dan daerah sekitar bandar raya ini yang ditahan dalam serbuan itu.

"Lima anggota polis itu didapati positif dadah jenis methamphetamin, ketamin dan amphetamine selepas ujian air kencing diambil...mereka (anggota polis) berumur dalam lingkungan 20 dan 40 tahun," katanya kepada pemberita di sini.

Dalam serbuan pada pukul 3 pagi itu, polis memeriksa 306 orang pengunjung membabitkan 215 lelaki dan 91 wanita yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun. "Daripada jumlah itu, 70 orang positif dadah selepas ujian air kencing diambil iaitu 43 lelaki 27 orang wanita," katanya.

Beliau berkata polis turut menemui beberapa paket dadah yang bertaburan di atas lantai.

Tiada ulasan: