HALAMAN SANTAI

Jumaat, 26 Jun 2009

Petronas catat hasil RM264.2b

Oleh Saidon Idris dan Kamarulzaidi Kamis


KUALA LUMPUR: Petronas merekodkan pendapatan tertinggi dalam sejarah penubuhannya, sebanyak RM264.2 bilion dalam tahun kewangan berakhir 31 Mac 2009, meningkat 18.4 peratus daripada RM223.1 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.

Bagaimanapun, penurunan harga minyak mentah global mulai Julai tahun lalu serta peningkatan kos yang ketara dalam industri menyebabkan keuntungan sebelum cukai syarikat minyak negara itu susut 6.7 peratus kepada RM89.1 bilion berbanding RM95.5 bilion tahun kewangan sebelumnya, penurunan pertama dalam tempoh tujuh tahun.

Namun, di sebalik keuntungan lebih rendah itu, jumlah pembayaran Petronas kepada kerajaan dalam tahun kewangan dikaji meningkat 20.1 peratus kepada RM74 bilion daripada RM61.6 bilion tahun kewangan sebelumnya.

Jumlah itu mewakili 71.4 peratus keuntungan sebelum cukainya dan 44.9 peratus daripada pendapatan keseluruhan Kerajaan Persekutuan pada 2008.

Ia adalah dalam bentuk pembayaran dividen kepada Kerajaan Persekutuan (RM30 bilion), cukai pendapatan petroleum (RM20.3 bilion), cukai korporat (RM9.1 bilion), duti eksport (RM2.2 bilion) dan royalti (RM6.2 bilion).

Selain itu, RM6.2 bilion lagi diberi dalam bentuk pembayaran royalti kepada kerajaan negeri Terengganu (RM3 bilion), Sarawak (RM2.3 bilion) dan Sabah (RM900 juta). Petronas mengekalkan RM21.9 bilion atau 21.1 peratus daripada keuntungan sebelum cukainya untuk pelaburan semula.

Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Mohd Hassan Marican, berkata penyumbang utama peningkatan pendapatan Petronas ialah pendapatan operasi antarabangsanya meningkat 23.7 peratus kepada RM111.3 bilion, daripada RM90 bilion tahun kewangan lalu, sekali gus menunjukkan kedudukan kukuh syarikat minyak nasional itu dalam industri minyak dan gas global.

Ia diikuti operasi eksport yang menyumbang RM98.2 bilion, naik RM13.1 peratus daripada RM86.8 bilion serta operasi dalam negara sebanyak RM54.7 bilion, meningkat 18.1 peratus daripada RM46.3 bilion.

Dari segi peratusan, operasi antarabangsa menyumbang 42.1 peratus kepada jumlah pendapatannya, diikuti oleh eksport (37.2 peratus), manakala operasi dalam negara hanya 20.7 peratus.

Selepas ditolak cukai dan kepentingan minoriti, keuntungan bersih Petronas dalam tahun kewangan dikaji susut 13.9 peratus kepada RM52.5 bilion daripada RM61 bilion.

Dalam tahun kewangan dikaji, nilai aset Petronas terus mengukuh kepada RM388.1 bilion, meningkat 14.4 peratus daripada RM339.3 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.

Mohd Hassan berkata, peningkatan kukuh pendapatan Petronas itu turut didorong oleh peningkatan jumlah jualan dan harga gas asli cecair (LNG) yang tinggi.

"Di sebalik suasana paling mencabar dan sukar bagi industri minyak global, kumpulan berupaya mencatat pencapaian memuaskan dengan peningkatan pendapatan ke paras tertinggi sejak ditubuhkan 35 tahun lalu.

"Meskipun begitu, kumpulan mencatat keuntungan sebelum cukai dan keuntungan bersih yang lebih rendah susulan kesan daripada persekitaran 'harga rendah, kos tinggi' industri minyak global," katanya pada sidang media mengumumkan keputusan kewangan itu semalam.

Beliau berkata, jualan produk petroleum ditapis terus menjadi penyumbang utama pendapatan Petronas dengan jualan bernilai RM91.7 bilion, meningkat 19.2 peratus daripada RM76.9 bilion tahun lalu.

"Pendapatan daripada jualan minyak mentah pula berjumlah RM64.4 bilion, meningkat daripada RM59 bilion pada tahun kewangan sebelumnya," katanya.

Jumlah jualan minyak meningkat 12 peratus kepada daripada 200.9 juta tong pada tahun sebelumnya kepada 225 juta tong pada tahun kewangan yang dikaji.

Jumlah jualan gas asli cecair (LNG) yang menjadi penyumbang ketiga pendapatan Petronas pula kekal pada 25 juta tan berbanding 25.1 juta tan pada tahun kewangan 2008.

Tiada ulasan: