HALAMAN SANTAI

Isnin, 29 Jun 2009

Kediaman kakitangan JKR serba kekurangan

Oleh Azman Mahmood


KUALA LUMPUR: Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor yang membuat lawatan kerja ke kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) di Batu 2 1/2 Jalan Cheras di sini semalam, terkejut apabila melihat kediaman kakitangan jabatan itu serba kekurangan, berkeadaan usang dan saiz lebih kecil daripada rumah kos rendah.

Shaziman juga tidak berpuas hati dengan persekitaran kuarters berkenaan yang membabitkan laluan antara tiga blok itu kerana kotor dengan longkang tersumbat, semak dan boleh menjadi sarang ular serta tikus.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan JKR Wilayah Persekutuan mengambil langkah segera membersihkan sekitar kuarters terbabit supaya selamat diami sebelum tindakan selanjutnya diambil.

“Saya kagum kemajuan Kementerian Kerja Raya membina bangunan tinggi dan jalan yang hebat. Jadi, kita nak tahu juga bagaimana tempat tinggal kakitangan bawahan yang juga keluarga saya (Kementerian Kerjaraya).

“Jadi, untuk mengenali mereka lebih dekat, saya ambil sedikit masa meninjau kuarters kakitangan JKR di sini hari ini (semalam) dan saya dimaklumkan kuarters ini dibina sejak tahun 50-an dengan keluasan hanya 418 kaki persegi, lebih kecil daripada rumah kos rendah dan pada peringkat awal dibina dengan satu bilik.

“Yang jelas kuarters ini sudah tidak sesuai lagi didiami,” katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan kuarters berkenaan selama kira-kira sejam, semalam. Kuarters berkenaan didiami kira-kira 50 keluarga yang menempatkan kakitangan Kumpulan Sokongan Dua, terdiri daripada pekerja bahagian pertukangan, tukang cat dan pemandu.

Difahamkan sebelum ini kawasan kuarters itu yang keseluruhannya seluas 0.8 hektar termasuk dalam perancangan kementerian berkenaan untuk pembangunan semula dengan pembinaan rumah pangsa sembilan tingkat untuk kakitangan Kumpulan Sokongan Dua berkenaan.

Shaziman berkata, perancangan baru akan dirangka untuk menjaga kebajikan kakitangan JKR di situ dan perkara itu akan dibincang di peringkat kementerian termasuk melihat peruntukan sedia ada atau akan dimasukkan ke dalam projek Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

“Yang penting kita berusaha memberi keselesaan kepada kakitangan bawahan. Jadi, saya akan cari jalan penyelesaian dan memberi pertimbangkan sewajarnya untuk menjaga kebajikan kakitangan di sini,” katanya.

Ditanya mengenai peruntukan RM18 juta yang dikatakan disediakan untuk meningkatkan kemudahan tempat tinggal di kuarters berkenaan, katanya memang ada perancangan membangunkan kawasan itu untuk dijadikan kediaman lebih selesa bagi kakitangan JKR terbabit, tetapi tidak mendapat persetujuan kementerian.

Tiada ulasan: