HALAMAN SANTAI

Sabtu, 27 Jun 2009

PM Najib pelawa Obama kunjungi Malaysia

Oleh G. MANIMARAN


PETALING JAYA: Dalam perbualan telefon pertama malam tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak telah mempelawa Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama agar mengunjungi Malaysia.

"Saya mempelawa beliau berkunjung ke negara kita supaya dapat melihat sendiri penerapan Islam dalam masyarakat majmuk yang berbilang kaum seperti Malaysia.

"Pelawaan ini berikutan dengan pengiktirafan Presiden Obama terhadap Kuala Lumpur sebagai contoh sebuah negara berpenduduk majoriti Islam yang progresif dalam ucapan beliau kepada dunia Islam di Kaherah baru-baru ini," kata Najib dalam blognya, 1Malaysia hari ini.

Malam tadi kedua-dua pemimpin ini telah mengadakan hubungan menerusi telefon, buat kali pertama sejak menerajui kepimpinan masing-masing.

Obama mengangkat sumpah sebagai Presiden AS pertengahan Januari lalu manakala Najib pula tiga bulan kemudian.

Najib yang juga Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional berkata, beliau telah "menerangkan kepada Obama bahawa Malaysia berkongsi titik persamaan yang penting dengan AS."

"Kita sama-sama percaya kepada ideal dan prinsip demokrasi termasuk kebertanggungjawaban dan ketelusan.

"Saya juga telah bercakap tentang usaha memperkenalkan konsep 1Malaysia dan bagaimana rasa kebersamaan dan kekitaan akan membantu Malaysia melangkah ke hadapan dengan matlamat yang sama," katanya.

Kedua-dua mereka berbual sekitar pukul 9.12 malam selama 20 minit.

"Saya amat gembira dapat berbual melalui telefon selama lebih kurang 20 minit dengan rakan sejawat saya dari Amerika, Presiden Obama.

"Ini merupakan perbualan telefon pertama kami sebagai ketua kerajaan dan seterusnya kami bertukar-tukar ucap selamat atas pelantikan kami. Saya telah menyatakan bahawa saya amat berharap dapat bekerja rapat dengan beliau.

"Presiden Obama dengan mesranya mengakui keupayaan saya untuk berkhidmat sebagai Perdana Menteri berdasarkan latar belakang saya yang luas dalam perkhidmatan awam," kata Najib lagi.

Dalam tulisannya, Najib yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, Obama telah membangkitkan isu krisis ekonomi global.

Najib mengambil kesempatan untuk menjelaskan bahawa Malaysia turut terjejas disebabkan krisis ekonomi global.

Kedua-dua mereka juga membincangkan tentang penyemakan semula Perjanjian Dagangan Bebas, isu-isu berkaitan dengan Korea Utara dan Iran khususnya program pembangunan nuklear, pelaburan wang haram dan isu-isu keganasan.

Tiada ulasan: