HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 Jun 2009

Jayakan kempen beli barangan tempatan - Muhyiddin

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyeru rakyat agar menyokong barangan keluaran tempatan supaya ia setanding dengan barangan luar.

Dalam ucapan pada majlis perasmian Ekspo Mega Beli Barangan Malaysia di Kuala Lumpur Convention Centre di sini, Timbalan Perdana Menteri berkata kempen anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan itu adalah sebagai tambahan kepada pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan kerajaan bagi membolehkan pengguna turut membantu negara untuk keluar daripada kesuraman ekonomi yang dihadapi sekarang.

"Ini kerana pengguna merupakan penyumbang utama kepada permintaan domestik melalui perbelanjaan harian," katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Muhyiddin berkata kempen beli barangan tempatan menawarkan harga berpatutan kepada pengguna dan keadaan itu memberikan keuntungan kepada pengguna dan pengusaha kerana mereka saling memenuhi keperluan masing-masing.

"Kerajaan juga akan mendapat kebaikannya apabila kitaran ekonomi dapat bergerak dengan lebih baik untuk menjana pertumbuhan yang lebih produktif," katanya.

Muhyiddin berkata penganjuran ekspo perdagangan barangan Malaysia di seluruh negara merupakan satu pendekatan yang baik untuk mewujudkan lebih banyak permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan tempatan.

Beliau berkata untuk memastikan barangan tempatan terus mendapat tempat dalam pasaran, pengeluar perlu sentiasa berusaha untuk memberikan inovasi baru kepada produk keluaran mereka.

"Perkembangan teknologi di negara kita kini sudah setaraf dengan negara luar, jadi tidak mustahil bagi produk kita untuk mempunyai kualiti yang setanding atau mungkin lebih baik daripada produk antarabangsa," katanya.

Muhyiddin juga berkata ramai rakyat tempatan yang telah berjaya mencipta nama di peringkat antarabangsa dan mereka amat berbangga memperkenalkan produk keluaran mereka sebagai produk Malaysia.

"Sikap inilah yang perlu ada pada setiap rakyat Malaysia. Kita seharusnya membuang sikap prejudis terhadap barangan kita," katanya.

Tiada ulasan: