HALAMAN SANTAI

Ahad, 24 Januari 2010

Syor setiap negeri tubuh persatuan kerabat raja

BERITA HARIAN ONLINE


ALOR SETAR: Persatuan Kerabat Diraja Kedah (PKDK) menyarankan supaya setiap negeri di negara ini yang mempunyai raja menubuhkan persatuan kerabatnya sendiri bagi menggabungkan usaha mempertahankan institusi diraja berikutan kini sering dipertikaikan pihak tertentu.

Yang Dipertuanya, Datuk Tengku Zainol Rashid Tengku Yahya, berkata usaha itu penting bagi menunjukkan kesetiaan keluarga atau kerabat diraja untuk berdiri teguh di belakang raja dan sultan masing-masing.

“Sejak akhir-akhir ini kita sedih apabila mendengar ada pihak yang tidak faham mengenai sejarah dan perlembagaan mempertikaikan kedudukan institusi diraja dan hak keistimewaan orang Melayu dan kedudukan agama Islam.

“Jika ada persatuan kerabat diraja dan bergabung, kita boleh menjadi kumpulan yang mempertahankan institusi diraja ketika ada pihak mempertikaikan perkara berkaitan kedudukan kesultanan Melayu.

“Generasi muda kini ramai yang tidak faham mengenai kedudukan raja Melayu hingga menyebabkan mereka hilang hormat dan tunduk kepada institusi ini,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan makanan kepada keluarga miskin dan kurang upaya, di sini, semalam.

Tengku Zainol berkata, pihaknya bersedia menjadi pengantara bagi semua persatuan kerabat diraja untuk melaksanakan aktiviti secara bersama.

“Sebagai permulaan, kita bercadang untuk mengumpulkan semua kerabat diraja dari seluruh negara dalam satu pertemuan besar-besaran yang dijangka akan diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil pada pertengahan tahun ini,” katanya.

Pertemuan itu diadakan bertujuan untuk membuktikan sokongan daripada semua ahli yang berdiri teguh di belakang pemerintahan raja dan sultan masing-masing.

Sementara itu, PKDK mengalu-alukan badan korporat dan NGO untuk menjadi ahli bersekutunya dan menyumbang dana bagi memudahkan pihaknya menjalankan pelbagai aktiviti pada masa depan.

Tiada ulasan: