Mohd Zuharman
KOTA BHARU - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat mengulangi pendiriannya, tindakan kerajaan pusat hanya mahu beri wang Ehsan adalah satu pengkhianatan,dan tidak akan teragak-agak untuk meminta rakyat adakan doa musnah pemimpin pusat.
Sehubungan itu, Menteri Besar Kelantan menegaskan beliau tidak akan menerima bayaran wang ihsan.
“Saya tidak akan terima wang ihsan. Saya akan beritahu kepada rakyat semua, pusat merampas, mencuri, menyamun harta Kelantan.
“Dan saya akan minta tolong rakyat semua doa supaya musnah pemimpin pusat,” kata beliau kepada pemberita selepas menerima rombongan ekspedisi PAS Batu di kediaman rasminya semalam.
Ekspedisi diketuai Yang Dipertuanya, Ishak Surin menyerahkan memorandum sokongan PAS kawasan tersebut terhadap usaha kerajaan negeri menuntut royalti petroleum.
Kerajaan Kelantan membuat tuntutan tersebut pada awal tahun lalu.
“Kelantan menuntut hak kami secara Islam. Allah beri kepada kami logam di bumi Kelantan, balak permukaan Kelantan dan batu-batan di tanah Kelantan dan juga logam di laut yang kita panggil petroleum.
“Itu adalah hak Kelantan. Mana-mana orang ambil hak orang lain berdosa dunia akhirat.
“Di dunia dia dikutuk dan didoa musnah oleh semua rakyat Kelantan. Di akhirat kelak, dia akan dimamah oleh api neraka,” katanya.
Nik Aziz menyifatkan pemimpin pusat sebagai pembohong besar apabila berdolak-dalik ketika membuat kenyataan tersebut sebagai mengarut dan putar belit seolah-olah kehidupan mereka bertuhankan duit.
“Mereka menyebut peringkat pertama Kelantan tiada hak. Diulang berkali-kali Kelantan tiada hak. Kemudian sekarang ini ada hak pula? Tapi dengan nama wang ihsan,” katanya.
Nik Aziz juga mempertahankan hasil pengeluaran minyak dari perairan pantai Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
Katanya, bahan api tersebut tidak terdapat di Kuala Lumpur atau Putrajaya.
“Adanya duit petrol di khazanah pusat ini hasil daripada tuah bumi Kelantan... bumi Terengganu dan Sabah Sarawak. Tiba-tiba mereka yang tiada minyak setitik ni kata hak dia.
“Kami yang mempunyai hak ini mereka kata tiada hak. Mengarut!” katanya.
Mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Husein kerajaan akan melantik beberapa wakil kerajaan Kelantan untuk menduduki jawatankuasa pembangunan wang ihsan, Nik Aziz berkata, itu perkara kedua.
“Itu masalah yang kedua. Pasti dulu nak runding ni, hendak bagi royalti atau ihsan kepada kerajaan Kelantan?
“Kalau runding nak beri wang ihsan tak payah runding. Saya tak akan terima,” ujarnya.
Difahamkan kerajaan pusat akan membayar wang ihsan kepada Kelantan pada Mac ini.
Dalam pada itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed bertegas bahawa di bawah undang-undang rakyat Kelantan akan diberi wang ehsan bukan royalti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan