HALAMAN SANTAI

Ahad, 24 Januari 2010

Zulkifli buat aduan polis terhadap Khalid Samad


ZULKIFLI Nordin membuat laporan polis terhadap Khalid Samad mengenai kalimah Allah di Balai Polis Jalan Masjid India, semalam.

UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR . - Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin hari ini membuat laporan polis mendakwa Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad terus mengeluarkan kenyataan memperlekeh dan menghina agama Islam.

Laporan itu dibuat di Balai Polis Jalan Masjid India di sini, kira-kira pukul 5.30 petang.

Zulkifli dalam laporannya itu turut melampirkan kenyataan Khalid dalam satu artikel bertajuk 'Enakmen larang kalimah Allah ketinggalan zaman' yang disiarkan laman portal Malaysiakini, kelmarin.

Dalam artikel tersebut, Khalid dipetik sebagai menyatakan, enakmen agama Islam yang melarang pengunaan kalimah Allah dan perkataan-perkataan lain berkaitan Islam sudah ketinggalan zaman.

Zulkifli menyifatkan kenyataan Khalid dalam artikel itu sebagai berunsur hasutan dan menghina Sultan Selangor dan Dewan Undangan Negeri itu serta menghina umat Islam secara umumnya.

"Saya juga percaya bahawa kenyataan beliau itu boleh mewujudkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau perasaan benci-membenci di antara umat Islam dengan penganut agama Kristian serta lain-lain agama," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis.

Baru-baru ini, Khalid dikritik pelbagai pihak termasuk Zulkifli berikutan sokongannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

Malah, Zulkifli turut mengesa Khalid supaya keluar daripada Pas ekoran pendiriannya yang tidak selaras dengan perjuangan Islam yang dibawa parti itu.

Zulkifli menggesa polis supaya menjalankan siasatan terhadap Khalid mengikut Akta Hasutan atau Seksyen 298A Kanun Keseksaan atau undang-undang Islam bagi negeri Selangor.

Tiada ulasan: