Kementerian ambil pendekatan penekanan kekeluargaan erat sejak awal
Oleh Hazirah Che Sab
PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak bercadang memperkenalkan akta khas bagi mengenakan sebarang bentuk tindakan terhadap anak derhaka atau yang mengabaikan tanggungjawab menjaga ibu bapa.
Sebaliknya, kata Timbalan Menteri, Datin Paduka Chew Mei Fun, kerajaan mengambil pendekatan dengan berusaha menekankan kepentingan kekeluargaan yang erat.
Beliau turut memberi alasan, akta itu sukar diperkenalkan kerana faktor seperti ibu bapa sendiri yang tidak mempunyai hubungan erat dengan anak mereka sejak kecil lagi.
“Belum tiba masanya akta berkenaan diwujudkan walaupun mengakui kebanjiran warga tua di rumah kebajikan sebagai fenomena tidak sihat.
“Malah tinjauan ke atas 19 rumah kebajikan kelolaan kementerian mendapati kebanyakan ibu bapa yang dihantar ke rumah kebajikan itu tidak mempunyai hubungan erat dengan anak sedari awal. Fenomena ini memang tidak sihat kerana anak yang harus menjaga ibu bapa, tetapi keadaan sebenar hubungan ibu bapa dan anak itu sendiri, perlu diteliti.
“Selain itu, ramai juga di kalangan penghuni rumah kebajikan ialah mereka yang tidak pernah berkahwin dan mempunyai anak,” katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan ang pau dan bantuan kepada 100 penghuni Rumah Orang Tua Seri Setia dan Pusat Haemodialisis Ping Rong sempena sambutan Tahun Baru Cina di sini, semalam.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Meme Zainal Rashid, yang berkata kementerian kini mengkaji untuk mewujudkan akta yang membolehkan tindakan diambil terhadap anak yang mengabaikan tanggungjawab menjaga ibu bapa, baru-baru ini.
Meme, bagaimanapun menegaskan perkara itu memerlukan kajian mendalam kerana ia membabitkan perhubungan antara anak dengan ibu bapa.
Chew berkata, kerajaan tidak mahu anak menjaga orang tua mereka atas dasar terpaksa, sebaliknya ia harus berteraskan kesedaran, kerelaan, sikap menghormati dan menyayangi orang tua.
Justeru, katanya, kementerian giat mempromosikan program kemahiran keibubapaan bagi menekankan kepentingan hubungan erat antara keluarga sejak awal.
“Kementerian menerusi Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) mengadakan program Keibubapaan @ Kerja di agensi kerajaan yang mendedahkan kakitangan lelaki dan wanita cara membahagikan masa antara kerja dan keluarga serta kepentingan hubungan kekeluargaan erat.
“Dalam program itu peserta didedahkan dengan cara menangani emosi serta pengagihan masa antara keluarga dan kerjaya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan