Harakahdaily
KUALA LUMPUR: PAS menyelar tindakan Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussin yang mendakwa bahawa sebuah jawatankuasa yang turut disertai wakil kerajaan negeri Kelantan akan ditubuhkan bagi menentukan jenis projek dan kaedah penyaluran wang ehsan.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, kenyataan Awang Adek itu dilihat cuba menunjukan bahawa Kelantan seolah-olah bersetuju dengan penubuhan Jawatankuasa tersebut.
"Kenyataan putar belitnya jelas menyimpang jauh dengan pendirian Kelantan yang menolak idea Wang Ehsan bagi mengantikan Wang Royalti bagi isu minyak dinegeri itu," katanya.
Sebagai orang Kelantan jelasnya, Awang Adek sewajarnya mempunyai rasa kebersamaan dengan rakyat untuk pertahankan hak dan sumber negeri Kelantan bukannya mengkhianati rakyat.
Tindakan Awang Adek juga jelasnya telah menggagalkan kempen Umno Juara Rakyat di Kelantan.
"Maka PAS mengingatkan Awang Adek yang menjadi Timbalan Menteri dari pintu belakang pejabat Perdana Menteri agar tidak memainkan wayang pacak yang enggan dilihat oleh rakyat. Tuntutan rakyat Kelantan jelas, bayar wang royalti bukan wang ehsan," katanya lagi.
Sekiranya Kelantan menerima wang ehsan hari ini jelasnya, maka sampai bila-bila pun ianya akan kekal wang ehsan sama seperti yang diterima BN Terengganu.
"Maka rakyatlah yang akan rugi kerana berbilion wang royalti yang jadi hak negeri telah dirompak oleh Kerajaan Persekutuan. Ketahuilah, rakyat Kelantan bukannya peminta sedekah sampai perlukan duit ehsan, rakyat Kelantan berhak dapat Royalti," jelasnya lagi.
PAS katanya berharap dengan keputusan tegas Kerajaan Negeri itu, isu wang ehsan tidak lagi relevan untuk dibangkitkan.
Tegasnya, sekiranya wang ehsan itu masuk ke Kelantan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) maka ianya adalah wang haram dari segi semangat federalisme
PAS jelasnya yakin, Umno akan mengunakan wang itu sepenuhnya bagi menjalankan kempen Umno Juara Rakyat di kelantan dengan menaja wakil rakyat dan Umno Bahagian mengadakan program bersama rakyat.
PAS juga yakin rakyat Kelantan memahami perkara itu, dan sesekali tidak akan membiarkan Kelantan menjadi seperti Terengganu yang kembali kepada BN setelah wang ehsan ditaburkan.
Sehubungan itu PAS menggesa Jabatan Audit Negara memeriksa akaun JPP yang ditubuhkan oleh BN disemua negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat, kerana rakyat jelasnya mahu tahu berapa banyak duit mereka dibazirkan oleh 'Kerajaan haram BN' ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan