HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 Mei 2012

Nizar kata tiada niat heret ATM ke kancah politik

 
Bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata beliau tidak berniat mengheret Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke kancah politik melalui dakwaan bahawa perdana menteri mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan pasukan itu berhubung pilihan raya.

Jelasnya, beliau membangkitkan perkara itu dalam ceramahnya supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri mengesahkan atau menafikan perkara itu supaya ia tidak menjadi khabar angin semata-mata.

"Saya tidak mengheret ATM ke politik kepartian tetapi sekadar memuliakan ATM agar berpegang kepada Perlembagaan dan bersifat profesional.

"Adalah dalam konteks ini saya bertanya agar perkhabaran mengenai ATM dan PM mesti dijelaskan," kata timbalan pesuruhjaya PAS Perak itu.

Mengulas lanjut, Nizar berkata beliau juga mahu ATM lebih berwaspada agar tidak sama terlibat dalam kancah politik kepartian seperti yang didakwanya pernah berlaku di negeri Perak.

Ahli parlimen Bukit Gantang itu dalam satu ceramahnya pada 22 April lalu mendakwa Najib menemui pegawai tertinggi ATM dan meminta mereka berbuat sesuatu jika BN tewas dalam pilihan raya akan datang.

Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan Angkatan Tentera Malaysia yang bertegas mahu mengambil tindakan undang-undang ke atas Mohammad Nizar kerana mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap pasukan keselamatan.

Susulan dakwaan itu, Nizar kini disiasat mengikut Seksyen 4, Akta Hasutan selepas enam laporan polis dibuat terhadap beliau.

Tiada ulasan: