HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 Mei 2012

Occupy Dataran berkhemah lagi, DBKL buat rampasan

 
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pagi ini bertindak merampas barangan dan khemah yang didirikan aktivis Occupy Dataran di hadapan bangunan Majlis Peguam di Kuala Lumpur.

Seorang aktivis berkenaan Lew Pik-Svonn berkata, pegawai DBKL tiba sekitar jam 10.20 pagi dan merampas satu-satunya khemah mereka di tapak itu.

NONEBarangan seperti beg tidur, tikar, poster, dan alat kelengkapan diri yang diletakkan di dalam khemah berkenaan turut dirampas, katanya.

Lew berkata DBKL bertindak demikian sebaik sahaja mereka beredar dari tapak khemah untuk menyertai perarakan Hari Buruh di tapak letak kereta Pasar Seni pagi ini.

"Kami berpesan kepada pengawal keselamatan Majlis Peguam agar segera maklumkan kami jika ada apa-apa yang mencurigakan berlaku di tapak khemah.

"Beliau kemudian didatangi pegawai DBKL yang bertanya ke mana kami pergi. (Jadi) kami rasa kami memang diperhatikan.

NONE"Selang beberapa minit kami tinggalkan tapak khemah, kami terima panggilan (dari pengawal tentang rampasan)," kata Lew ketika ditemui.

Tambahnya, seorang lagi aktivis, Fahmi Reza kemudiannya meminta pegawai berkenaan supaya memberikan notis bertulis atas tindakan rampasan barangan itu.

"Kami juga maklumkan bahawa khemah itu didirikan atas bangunan persendirian (Majlis Peguam). Mereka tidak menjawab dan hanya beritahu ia arahan pihak atasan dan terus beredar," katanya.

Katanya lagi, kumpulan itu kemudiannya bertindak mendirikan sebuah lagi khemah di lokasi sama.

Kumpulan Occupy Dataran itu mula berkhemah bersama gerakan mahasiswa yang menuntut pemansuhan Perbadanan Tabung Pinjaman Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) di satu sudut Dataran Merdeka, kira-kira dua minggu sebelum perhimpunan BERSIH 3.0 diadakan.

Perkhemahan kumpulan aktivis itu diadakan dengan matlamat "menuntut kembali ruang awam."

Tiada ulasan: