HALAMAN SANTAI

Rabu, 24 April 2013

Aisah: Lawan MB bukan tugas mudah

Wartawan Sinar Harian

 Aisah Lamsah
Aisah sempat berbual dengan Mohamad ketika penamaan calon, Sabtu lalu.
 
BAGI Negeri Sembilan, antara calon wanita yang mendapat tumpuan ramai adalah di Dun Rantau apabila calon PKR, Aisah Lamsah akan berdepan dengan lawannya, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Ini kali kedua Aisah, 56, menentang Mohamad kerana pada PRU12 lalu, beliau tewas dengan majoriti 3,783.

Pilihan raya kali ini dianggap sebagai misi menebus kembali kekalahan, namun calon yang dianggap 'wanita besi' Pakatan Rakyat itu sedikit pun tidak gentar atau patah semangat melihat lawannya satu nama besar serta berpengaruh dalam bidang politik.

Aisah yang juga Timbalan Pengarah Pilihan Raya Keadilan sudah berkecimpung dalam politik sejak 15 tahun lalu berkata, secara peribadi beliau tidak mempunyai masalah dengan Mohamad.

Katanya, selain berkempen menerangkan manifesto PR, beliau akan mengupas kembali janji dilontarkan menteri besar kepada rakyat sebelum ini.

“Kita akan ungkap balik apabila ada janji-janji menteri besar pada pilihan raya umum lalu masih tidak ditunaikan,” kata ibu kepada lima orang anak itu.

Graduan dalam bidang kejuruteraan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu bagaimanapun mengakui tugasnya bukanlah mudah kerana Dun Rantau merupakan kubu kuat BN.

“Nampak peluang menang tetap ada walaupun tipis dan sebab itu, saya melipat gandakan gerak kerja jentera dalam usaha menarik sokongan,” katanya.

Tiada ulasan: