HALAMAN SANTAI

Isnin, 1 April 2013

AMK, Cabang Permatang Pauh rayu Anwar pertahan Parlimen

Oleh Nazar Hashim

PERMATANG PAUH : Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim diuar-uar mungkin bertanding di kawasan lain, Angkatan Muda KEADILAN (AMK) dan peringkat Cabang Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang merayu supaya Ahli Parlimen kawasan itu mempertahan kerusi berkenaan pada pilihan raya nanti.

SONY DSC

Sokongan tidak berbelah bahagi kepada pemimpin kesayangan mereka itu dibuktikan dengan penyerahan notis rayuan kepada Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar.

Notis tersebut disampaikan Ketua Penerangan AMK Permatang Pauh, Shukri Hamid.

Penyerahan itu dibuat pada satu majlis di hadapan Dataran Rakyat, Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, Permatang Pauh 25 Mac lalu.

Mereka turut membawa sepanduk antaranya tertera: “Permatang Pauh tetap mahukan Datuk Seri Anwar Ibrahim di P44″ dan “Kami warga Permatang Pauh tetap menyokong perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim”.

Dalam rayuan berkenaan, kumpulan itu berharap supaya Anwar kekal bertanding di Parlimen Permatang Pauh ekoran sokongan dan harapan majoriti pengundi dan masyarakat setempat yang mahu beliau dikekalkan sebagai wakil rakyat di situ.

SONY DSC

“Berdasarkan ‘track record’ Datuk Seri Anwar semasa beliau belum dipenjara sehinggalah dibebaskan, rakyat Parlimen Permatang Pauh tidak henti-henti memberi sokongan walaupun semasa Datin Seri Dr Wan Azizah (Wan Ismail) bertanding.

“Ini membuktikan Permatang Pauh benar-benar menjadi harapan rakyat supaya ditadbir Datuk Seri Anwar,” kata Shukri.

Baru-baru ini, Anwar menyatakan tidak menolak kemungkinan bertanding di luar Parlimen Permatang Pauh pada PRU 13 berikutan permintaan pemimpin dan rakyat, khususnya di Selangor dan Perak.

Parlimen Permatang Pauh adalah kubu kuat Anwar, lama sebelum KEADILAN ditubuh dan penguasaan terus didominasi dengan kemenangan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Wan Azizah Ismail ketika bekas Timbalan Perdana Menteri itu, dipenjara.

Ketika pengaruh KEADILAN jauh dari paras kemuncak manakala BN mencatat rekod terbaik sepanjang sejarah pilihan raya di negara ini, kerusi Permatang Pauh tetap gagal ditawan calon Umno, sebaliknya kekal di tangan KEADILAN. – NS

Tiada ulasan: