JOHOR BAHRU - Calon bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Mengkibol, Ng Lam Hua, bertindak menarik diri daripada bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) selepas mendakwa tidak tahan dengan tekanan serta ugutan penyokong ekstrem DAP.
Ng, yang bertanding atas tiket Bebas selepas kecewa pucuk pimpinan DAP tidak memilihnya sebagai calon, berkata beliau tidak berhasrat untuk terus bertanding kerana bimbang soal keselamatan diri dan keluarga.
Katanya, keputusan itu adalah muktamad walaupun beliau tidak boleh menarik diri secara rasmi kerana peruntukan yang termaktub mengikut Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Sejak saya bertanding atas tiket Bebas, saya menerima banyak panggilan yang memaksa saya menarik diri, dan ada juga yang mengugut untuk mencederakan saya kerana memilih untuk bertanding (atas tiket) Bebas.
"Saya sudah tidak tahan dengan tekanan yang diterima hingga isteri menasihatkan saya supaya menarik diri kerana bimbang dengan soal kesihatan saya," katanya ketika dihubungi hari ini.
Ng merupakan penyandang kerusi DUN Mengkibol yang dimenanginya di atas tiket DAP pada pilihan raya 2008, namun bertindak bertanding sebagai calon Bebas pada PRU13 selepas tidak dicalon semula oleh parti itu.
Pada PRU13, beliau akan menentang Tan Hong Pin, yang juga Ketua Pemuda DAP Johor, serta calon Barisan Nasional (BN) Chye Kwee Yeow.
Menurut Ng, walaupun tidak boleh menarik diri secara rasmi, beliau tidak akan turun berkempen.
Beliau berkata tindakan menarik diri itu bukan disebabkan pucuk pimpinan DAP sebaliknya tekanan melampau daripada penyokong ekstrem parti berkenaan.
"Saya betul-betul kecewa, selepas ini saya sudah tidak mahu memikirkan soal politik lagi. Biarlah mereka nak kata apa kerana yang penting komitmen saya untuk keluarga.
"Ada yang kata saya terima rasuah... ini semua tidak benar, dan inilah bukti politik di negara ini makin kotor," katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan Ng mendakwa amalan kronisme semakin menebal di kalangan pimpinan DAP menyebabkan beliau bertindak bertanding atas tiket Bebas. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan