HALAMAN SANTAI

Selasa, 23 April 2013

Calon BN lawan Guan Eng dengan pengalaman jual ikan



 
pembetulan PRU13-CALON BAHARU (BERGAMBAR)
TAN MANFAAT PENGALAMAN SEBAGAI PENIAGA IKAN UNTUK CABAR GUAN ENG
(membetulkan jawatan di perenggan 2 take 1)

Calon BN Tan Ken Keong akan memanfaat pengalamannya sebagai penjual ikan untuk mencabar Ketua Menteri Lim Guan Eng pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 bagi merebut kerusi DUN Air Putih.

Tan, 41, yang juga Timbalan Setiausaha Organisasi Pemuda MCA Pulau Pinang, berkata sebagai muka baharu, beliau terpaksa bekerja kuat dari pagi sampai ke malam untuk bertemu penduduk di kawasan berkenaan dan berkempen dari rumah ke rumah dalam tempoh 14 hari ini berbanding Lim, yang sudah dikenali sebagai Ketua Menteri.

"Dia sudah ada nama. Dia hanya guna teori iaitu dengan berceramah sahaja tetapi saya tidak mampu buat seperti itu memandangkan saya orang baharu.

"Oleh itu, saya akan menggunakan pendekatan secara praktikal seperti kunjungan rumah ke rumah, berkomunikasi dengan mereka secara dekat dan bertanyakan masalah yang mereka hadapi kerana itu lebih efektif untuk saya memperkenalkan diri kepada penduduk.

"Saya berharap penduduk sekitar dapat melihat potensi diri dan memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat kepada mereka," katanya ketika ditemui pada sesi memperkenal calon BN bahagian Pulau, Pulau Pinang di Georgetown hari ini.

Tan, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dari Universiti Putra Malaysia, berkata teknik perhubungan awam yang baik perlu diterap dalam jelajah kempen.

Memanfaatkan pengalamannya sebagai peniaga ikan, beliau berkata perhubungan awam yang baik menghasilkan satu komunikasi berkesan, dan pendekatan seperti itu akan menentukan kejayaan seseorang.

"Komunikasi dan perhubungan awam (PR) adalah penting kerana kejayaan seseorang itu adalah atas sebab PR dan bagaimana pendekatan yang individu berkenaan gunakan," katanya.

Beliau berkata peluang dan kepercayaan yang diberi pucuk pimpinan parti tidak akan disia-siakan, sebaliknya akan diguna sebagai platform untuk belajar serta memahami gerak kerja sebagai wakil rakyat, seterusnya bekerjasama dengan rakan yang lebih berpengalaman.

"Pengalaman orang lama masih diperlukan, tetapi ia perlu digabung seterusnya diselaras dengan idea juga pendekatan baharu daripada calon muka baharu supaya kolaborasi itu memberi satu impak yang lebih baik," katanya.

DUN Air Puteh mempunyai 13,803 pengundi dan majoritinya adalah kaum Cina. Pada PRU 2008, kerusi DUN itu milik Lim yang mengalahkan calon BN Tan Yok Cheng dengan majoriti 4,061 undi.

Dua lagi calon muka baharu, Roweena Yam bagi DUN Pulau Tikus dan Hng Chee Wey di kawasan Kebun Bunga, yakin BN mampu merampas kembali kerusi yang terlepas kepada pembangkang pada pilihan raya umum lepas, berdasarkan reaksi positif rakyat.

"Jentera BN yang berkempen, termasuk dari rumah ke rumah, telah mengenal pasti masalah penduduk tempatan yang boleh diselesaikan, dan pembangkang juga menghadapi beberapa masalah dalaman apabila ramai penyokong DAP tidak suka dengan calon yang dipilih," kata Yam yang berdepan saingan satu lawan satu dengan calon muka baharu DAP Yap Soo Huey.

Hng pula berkata walaupun kali pertama bertanding, kempen beliau mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.

"DUN Kebun Bunga menyaksikan pertandingan tiga penjuru dan pengundi di sini mula menerima BN, saya yakin ini petanda baik dan tidak mustahil kita dapat merampas kerusi itu," katanya yang ditentang calon PKR Cheah Kah Peng dan calon Bebas K Jayakaraman.- Bernama

Tiada ulasan: