| Harakahdaily, |
SIK: ‘Ingat jasa cikgu’, itulah ungkapan bekas-bekas pelajar yang pernah mendapat didikan dan mengenali calon PAS bagi Parlimen P.013 Sik, Che Uda Che Nik.
Sebagai bekas pengetua dan Pegawai Pelajaran Daerah, Che Uda bukan sahaja mempunyai kelebihan bergaul dengan para pelajar dan pegawai di pejabat pelajaran, termasuk kakitangan kerajaan di jabatan di sini.
Bagi bekas pelajar, mereka berjanji untuk pulang mengundi pada 5 Mei nanti bagi memberikan sokongan kepada Che Uda mempertahankan kerusi parlimen Sik yang dimenangi pada PRU12 lalu.
Pada PRU 2008 lalu, Che Uda yang mendapat 16,864 undi menewaskan calon BN, Datuk Othman Desa yang memperolehi 16,383 undi dengan majoriti 481 undi.
Pada PRU13 ini, beliau ditentang oleh calon BN, Dr Mansor Abd Rahman.
“Mereka yang berada di luar ini juga dapat mempengaruhi ibu bapa dan keluarga yang berada di sini untuk memberikan sokongan kepada PAS dan Pakatan Rakyat pada PRU13 ini,” ujarnya.
(Gambar: Che Uda pada satu majlis penyampaian sumbangan kepada pelajar.)
Mengenai kakitangan kerajaan, beliau berkata, sekitar 80 peratus mereka yang bertugas dan mengundi di Parlimen Sik akan mengundi PAS dan Pakatan Rakyat.
“Pegawai kerajaan kini sudah berubah, insya Allah 80 peratus daripada mereka akan memberikan sokongan kepada saya,” katanya yang memperoleh Sarjana Muda (Kepujian) Ekonomi dan Sastera dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1974 dan Diploma Pendidikan juga dari universiti yang sama.
Menurutnya, antara punca beliau mendapat perhatian dan simpati kakitangan kerajaan kerana pernah diletakkan di dalam 'peti sejuk' sewaktu menjadi Pegawai Pelajaran Daerah.
Selain itu, Che Uda dan isteri yang mempunyai keluarga besar di kawasan Parlimen Sik ini juga menjadi faktor yang akan dapat membantu beliau mempertahankan kemenangan pada PRU lalu.
“Pengaruh keluarga juga penting untuk mencapai kejayaan dalam pilihan raya umum kali ini kerana para pengundi juga akan memberikan sokongan kepada calon yang mempunyai keluarga besar di sini,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan