Sistem dua parti adalah formula terbaik, rakyat
diberi peluang memilih agar tidak ada satu pihak merasakan mereka kebal
selamanya.
KUALA LUMPUR: Mantan Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional (UPNM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Ir Ismail Samion hari ini secara rasminya menyertai PAS.
Tokoh akademik sektor pertahanan negara sebelum itu pernah berkhidmat selama 38 tahun sebagai jurutera Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Komandan Akademi Tentera Malaysia (MAM).
Menjadi jurutera pertama yang dilantik sebagai Naib Canselor di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Ismail melihat dasar perjuangan PAS yang berteraskan Islam menarik minatnya terjun dalam dunia politik secara serius.
Borang penyertaan keahliannya diserahkan kepada Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali di Pejabat Agung PAS di sini pagi tadi.
Ismal, 62, melihat sistem pemerintahan dua parti adalah formula terbaik apabila rakyat dapat diberi peluang memilih agar tidak ada satu pihak merasakan mereka kebal selamanya menjadi pemerintah.
Katanya, trend bekas penjawat awam yang cenderung masuk politik membuktikan rakyat mahukan perubahan melalui sistem dua parti.
Peluang terakhir
“Inilah peluang terakhir. Saya menyeru semua bekas tentera mengikut jejak saya dan memberikan sokongan dalam usaha membawa perubahan,” katanya.
Lulusan Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Reading, UK ini turut bersimpati dengan nasib bekas anggota tentera yang terpaksa bekerja keras meneruskan kehidupan selepas bersara.
Beliau menyarankan sistem peluang pendidikan kemahiran kepada mereka yang bakal bersara diberikan lebih awal dan bukannya enam bulan seperti yang diamalkan sekarang.
“Kita perlu berfikir dengan lebih luas untuk menjaga kebajikan menjana ekonomi bekas anggota tentera. Kita perlu bersedia lebih awal dan memberikan kursus kemahiran bukan enam bulan sebelum bersara. Masa terlalu pendek,” katanya.
Selain tentera, Ismail juga pernah memegang beberapa jawatan penting dalam sektor industri kejuruteraan dengan menjadi perintis Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).
Beliau juga pernah mewakili Institusi Jurutera (IEM) dalam Lembaga Panel Tatatertib selain ahli jawatankuasa Pemudah Selangor, satu badan yang ditubuhkan kerajaan negeri untuk menambahbaik urustadbir dan mengurangkan karenah birokrasi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan