HALAMAN SANTAI

Jumaat, 20 September 2013

Bekas wartawan Utusan Melayu: Kini Umno kurang pemimpin berwibawa

 


Ramai anggota Umno tidak senang dengan gaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilihat mempunyai begitu banyak ‘masalah,’ kata orang lama Utusan Melayu, Said Zahari.Beliau yang dianggap sebagai individu yang cukup arif tentang selok belok politik negara berkata Najib sendiri tahu akan sentimen ini.Akan tetapi beliau menambah terdapatnya individu-individu lain yang melihat Najib sebagai ‘umpan’ dan menginginkan beliau terus menguasai tampuk kuasa di dalam negara.

“Najib memang banyak rekod yang tidak disenangi. Dia sendiri tahu akan hal ini. Saya fikir kalau ada orang yang mahu menyingkirkan beliau, sudah lama beliau disingkirkan,” kata beliau kepada FMT ketika ditemui.

Tetapi menurut pengamatan beliau, ada orang yang melihat Najib ini sebagai keperluan dalam politik Umno itu sendiri justeru itu Najib perlu dikekalkan.

Dalam pada itu, Said yang juga bekas tahanan ISA selama 17 tahun itu berkata bahawa politik Umno sudah tidak mempunyai individu yang mantap untuk memimpin parti tersebut.

Beliau yang juga bekas wartawan berpengalaman menambah bahawa kebanyakan pemimpin Umno mempunyai masalah.

“Sebab itu rakyat sudah beralih kepada pembangkang seperti mana yang ditunjukkan pada pilihanraya ke-13 baru baru ini,” dakwanya.


Beliau menambah lagi orang ramai sudah matang dan politik Umno kini sedang terumbang ambing.
“Rakyat kini sudah tidak ragu- ragu untuk membuat pilihan,,” jelasnya.

Beliau berkata jika dahulu orang Melayu masih lagi sibuk dengan kepentingan Melayu kini ianya sudah berubah

“Tidak ada lagi sifat kemelayuan itu dan ini harus dipupuk untuk memastikan hubungan antara kaum di Malaysia terus berkembang,” kata beliau.

Abaikan politik sempit

Sehubungan itu, Said Zahari atau lebih mesra dengan panggilan Pak Said menegaskan bahawa pemimpin yang tegas serta berani sangat diperlukan untuk memimpin negara.

Sambil merujuk kepada kepimpinan Tunku Abdul Rahman yang dilihat berani di dalam membuat keputusan sewaktu British memerintah Malaya.

“Lihat Tunku sebagai contoh, beliau berjumpa Chin Peng untuk berusaha menyelesaikan konflik di Malaya waktu itu. British tidak suka akan hal ini kerana British takut Chin Peng berjaya mempengaruhi Tunku,” ujarnya.


Tetapi, katanya, Tunku dalam diam diam telah berjaya mempengaruhi Chin Peng.

Ketika ditanya mengenai kumpulan pendesak berhaluan kanan Perkasa, Pak Said menegaskan bahawa politik sempit sudah tidak lagi mendapat tempat di Malaysia di zaman serba canggih ini.

Sambil berkata beliau mengenali Datuk Ibrahim Ali sejak zaman mahasiswa, Pak Said menambah bahawa Ibrahim Ali sepatutnya mempunyai pandangan politik yang lebih luas.

“Saya mengenali beliau sejak zaman mahasiswa. Ketika itu beliau menjadi ‘student leader’ di Institut Teknologi Mara (ITM) yang kini sudah menjadi Universiti,” jelasnya.


Katanya lagi, Ibrahim Ali sudah sepatutnya membawa idea politik yang lebih luas dan matang.
“Tetapi beliau menyempitkan perjuangannya sendiri,” katanya lagi.- Free Malaysia Today

Tiada ulasan: