SUBANG JAYA – Seramai 10 pemilik unit pangsapuri di Subang Permai buntu kerana bakal kehilangan kediaman dibeli meskipun sudah melangsaikan sepenuhnya ansuran pinjaman bank.

Masalah berlaku apabila pihak bank yang memberi pinjaman kepada pemilik didakwa gagal menunjukkan ‘disclaimer letter’ membuktikan ‘redemption sum’ sudah dibayar kepada syarikat pemilik gadaian hartanah terbabit.

Lebih mengecewakan pembeli, pihak bank seolah-olah lepas tangan dan enggan membantu.

Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh Tseow Suan berkata, pangsapuri dibina lebih 20 tahun lalu itu mempunyai 260 unit rumah.

Menurutnya, pemaju asal yang sepatutnya mendapatkan hak milik strata untuk pembeli gulung tikar dan ketika projek dalam pembinaan, ‘master title’ sudah digadaikan kepada sebuah bank.

Katanya, bank yang sudah dua kali bertukar nama itu kemudian menjual gadaian tersebut kepada sebuah syarikat.

Isu berbangkit apabila syarikat berkenaan ke mahkamah untuk mendapatkan perintah jualan. Syarikat itu kemudian meminta pemilik unit membuktikan mereka sudah membayar redemption sum (harga penebusan).

10 daripada 250 pemilik gagal menunjukkan dokumen iaitu sembilan daripadanya mendapat pinjaman daripada tiga bank berbeza dan seorang membeli unit itu secara tunai daripada pemaju.

“Walaupun sudah bayar pinjaman 100 peratus kepada bank, institusi kewangan itu tidak dapat membuktikan pembeli sudah bayar ‘redemption sum’ kepada pemegang gadaian.

“Isnin ini (hari ini) mereka akan hilang rumah kerana akan dilelong syarikat itu,” katanya.

Tseow Suan berkata, beliau difahamkan tiada dokumen dapat membuktikan bayaran sudah dibuat kerana mengikut bank ia kes lama dan fail gagal dikenal pasti.

Satu mesyuarat kemudian diadakan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), di mana pihak kementerian meminta bank pertimbangkan bayaran dan hanya sebuah bank sedia membantu.

Terdapat bank lain yang tidak mahu menghulurkan bantuan dan ada di antaranya  memberi jawapan perkara itu sedang dalam pertimbangan yang akhirnya mengheret pembeli dalam masalah kehilangan rumah.

Salah seorang pemilik, Nafiza Hussin, 57, yang mempunyai dua unit pangsapuri berkata, dia  buntu apabila bakal kehilangan kedua-dua unit kediamannya.

Katanya, sebelum ini syarikat pemilik gadaian ada menghantar surat memintanya membuat bayaran sebanyak RM2,900 kerana pihak itu mendakwa bayaran terakhir tidak diterima. Apabila ke bank, suaminya diberitahu pinjaman sudah langsai.

“Baru-baru ini syarikat itu minta bayaran RM150,000 jika tak mahu rumah dilelong, malangnya ia akan dilelog juga,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen akan membawa isu itu kepada KPKT.

Katanya, KPKT harus menggubal undang-undang supaya pemaju menjadi lebih bertanggungjawab kepada pembeli rumah," katanya.