Oleh Wong Hong Jun (Junz Wong) ADUN Likas, Sabah (Suntingan Hafiz Zainuddin)
BARU-baru ini saya ke Kampung Pangi. Ia hanya mengambil
masa 30 minit menggunakan keretapi usang itu dari stesen Tenom. Kata
orang, kampung ini istimewa. Untuk melihat sendiri apa yang berlaku,
sekitar jam tujuh pagi lagi saya sudah terpacak menunggu keretapi
sampai.
Hari itu merupakan suatu pagi yang indah dengan udara yang
dingin, segar dan nyaman. Hari itulah pertama kali dalam hidup saya
melihat anak-anak yang beruniform sekolah bermain-bain dalam gerabak
yang mereka naiki. Sudah tentu, ia suatu pemandangan yang jauh sama
sekali berbeza dengan anak-anak berpakaian sekolah duduk menghadap ipad
masing-masing dalam komuter di Kuala Lumpur.
30 minit terasa seperti lima minit. Belum sempat puas saya
nikmati udara dan pemandangan indah sepanjang perjalanan dengan sungai
dan pohon-pohon kayu yang menghijau, saya tiba di Kampung Pangi.
Begitu
seperti dalam perjalanan, kampung ini juga menjanjikan pemandangan alam
semulajadi yang indah-indah. Saya menghela nafas dengan perasaan yang
amat tenang dan damai.
Di stesen keretapi Pangi, mata saya menangkap satu
pergerakan aneh. Seorang lelaki yang sedang berdiri di atas papan sambil
bergelongsor diatas landasan dengan kayuhan. Tidak tertangguh saya
menghampiri lelaki itu dan saya dapati beliau sedang mengemudi
kenderaannya di atas landasan keretapi.
Rupa-rupanya,
itulah jenis kenderaan yang digunakan penduduk kampung ini sejak sekian
lamanya disebabkan tiada jaringan jalan raya. Perasaan saya
bercampur-aduk. Timbul perasaan sedih pada masa yang sama kagum dengan
kreativiti penduduk kampung ini.
Dalam perbualan saya, saya dapati pengangkutan ini bukan
sahaja untuk memudahkan penduduk kampung mengangkut barang tetapi juga
satu keperluan terpenting jika berlaku kecemasan seperti sakit dan
sebagainya memandangkan jadual keretapi yang bertolak dari Stesen Tenom
ke Kampung Pangi hanya pada jam 9.30 pagi dan tiga petang sahaja.
Berniaga di Tamu
Sumber pendapatan utama bagi penduduk Kampung Pangi adalah
seperti getah, meniaga sayur dan tanam-tanaman lain serta memburu babi
hutan. Justeru, untuk menjual hasil yang diperoleh, mereka harus tiba
awal pagi untuk berdagang di Tamu (pasar pagi).
Pun begitu, oleh kerana kerana kekangan jadual keretapi
yang lewat, mereka cuma mampu tiba ke Tamu paling awal jam 10 pagi untuk
berniaga. Menurut penduduk, jam 10 pagi agak lewat untuk memulakan
perniagaan dan terlalu awal pula untuk menutup meja pada jam satu
petang. Tetapi, hanya itulah pilihan yang mereka ada.
Jikalau terdapat ahli keluarga yang sakit selepas jam tiga
petang, mereka terpaksa menunggu sehingga keesokkan harinya untuk
mendapatkan rawatan perubatan. Tetapi, jika ada antara mereka yang
tenat, terpaksalah berkayuh ke pekan dengan menggunakan kenderaan
istimewa itu.
Ia mengambil masa sekitar dua jam untuk berkayuh’ ke pekan
Tenom dan sejam pula untuk pulang kerana terpaksa melalui laluan
berbukit..
Kalau keretapi datang, cepat-cepat angkat…
Terlajak
saya di kampung itu, saya mengambil kesempatan bertanyakan mengenai
pengendalian kenderaan istimewa itu. Katanya, seseoran yang mahu
mengendalikan kenderaan itu perlulah berlatih untuk mengelakkan sebarang
kemalangan.
“Awak perlu berlatih dengan baik secara fizikal untuk
‘berkayuh’ troli tu dengan berhati-hati. Awak kena berhati-hati bila ia
memecut semasa menuruni bukit kerana ia boleh tergelincir dari landasan
dan mencederakan diri awak.
“Apabila awak sedar keretapi sedang datang samada awak
melihatnya atau mendengar honnya, awak perlu hentikan troli dengan
serta-merta dan mengangkatnya keluar dari landasan. Selepas keretapi
lalu, baru awak boleh teruskan perjalanan,” jelasnya.
Apa yang berlangsung sehingga saat ini di Kampung Pangi
benar-benar membuatkan saya jauh termenung. Kampung tanpa jalan ini
merupakan tempat berteduh bagi 500 orang penduduk yang tak jemu berkayuh
balik ke rumah selama ini.
Ini merupakan satu pengalaman dari pengamatan yang tidak
mungkin saya lupakan. Jika ada apa-apa yang harus saya ingati pada masa
yang akan datang, sudah pasti ianya adalah kisah perjalanan pulang ke
rumah yang ‘tanpa jalannya’.-Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan