Oleh: Masdar Wahid
KUALA LUMPUR : Polis harus menjelaskan tindakan selanjutnya selepas mendedahkan nama kumpulan kongsi gelap baru- baru ini, tegas Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.
“Setakat dedah nama dan lambang kongsi gelap tidak menyelesaikan masalah jenayah tanpa menjawab soalan asas apa tindakan setersunya.
“Siapa ketua, penaung dan bila polis akan mendakwa mereka mengikut proses undang-undang? Jangan lupa beberapa tahun lalu polis juga ada dedah nama ini, dan isu itu senyap begitu sahaja,” ujarnya kepada Suara Keadilan.
Beliau mengulas pengumuman Kementerian Dalam negeri mengumumkan senarai 49 kumpulan kongsi gelap di seluruh negara dengan keanggotaan berdaftar seramai 40,313 orang.
Bagaimanapun, kenyataan KDN mengenai penglibatan ahli politik ternama yang dikatakan menaungi pertubuhan jenayah terbabit, dinafikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Sehubungan itu Johari menggesa sumber risikan Jabatan Perdana Menteri dikerah membantu KDN dan polis menangani isu itu yang disifatkan sangat mencemaskan rakyat.
Beliau dalam pada itu turut membidas kenyataan polis yang akan menyiasat tindakan kongsi gelap merekrut pelajar di sekolah menengah.
“Kita tidak mahu hanya beri kenyataan ‘akan siasat’. Sekarang rakyat mahu apa hasil keputusan itu dan apa jaminan polis kejadian serupa tidak berulang pada masa depan,” katanya menuntut perkembangan mengenai isu didedahkan dari semasa ke semasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan