HALAMAN SANTAI

Ahad, 22 September 2013

Maznah mampu gugat Shahrizat, kata penganalisis

OLEH MOHD FARHAN DARWIS
























Penyertaan bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan bagi merebut jawatan Ketua Wanita Umno tidak boleh dipandang ringan kerana veteran Wanita Umno itu dijangka bakal memberikan saingan sengit kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (gambar).

Penganalisis politik berpendapat, Maznah, yang menghantar pencalonannya di saat-saat akhir sebelum tamat waktu penamaan calon semalam mempunyai kredibiliti dan keupayaan untuk menewaskan Shahrizat sekiranya beliau memilih isu tepat ketika berkempen.

"Datuk Maznah Mazlan saya rasa ada peluang. Dia senior Umno dan lebih senior daripada Shahrizat," kata penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia Dr Azizuddin Mohd Sani.

 Jika diukur daripada segi senioriti, Maznah lebih berpeluang untuk menyaingi Shahrizat, namun situasi pemilihan yang kini jelas Azizuddin tertumpu kepada generasi pelapis dalam Umno berkemungkinan akan memberikan peluang kepada Raihan Sulaiman Palestin.

"Namun, Raihan berpeluang hanya jika mendapat sokongan pergerakan wanita generasi baru kerana Shahrizat dan Maznah mewakili veteran Wanita," katanya kepada The Malaysian Insider.

"Meskipun sokongan akar umbi tidak begitu kuat, Raihan, bagaimanapun berupaya menjadi pemecah undi kerana mereka yang tidak suka Shahrizat akan menyokong sama ada Maznah mahupun Raihan," katanya lagi.

Imej Shahrizat yang terjejas disebabkan skandal Pusat Fidlot Nasional berkemungkinan menjadi sasaran pencabar-pencabarnya ketika berkempen, kata Azizuddin.

Beliau juga berkata imej bersih Maznah juga mampu menjadi tentangan buat Shahrizat.

Penganalisis daripada Universiti Malaysia Sarawak Profesor Madya Dr Andrew Aeria pula beranggapan pertandingan tiga penjuru yang terpaksa ditempuhi Shahrizat juga menunjukkan perkembangan positif dalam pemilihan parti majoriti Melayu itu.

"Yang paling penting mereka yang bertanding bijak menggunakan isu ketika berkempen," katanya.

Asri Salleh, penganalisis politik Universiti Teknologi Mara Terengganu bagaimanapun beranggapan peluang Shahrizat tetap lebih besar memandangkan bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu mempunyai sokongan padu dari akar umbi.

"Kedudukan Shahrizat kemungkinan besar terjamin kerana dua pencabar beliau tidak punya 'sokongan' besar di belakang mereka," katanya kepada The Malaysian Insider.

Proses penamaan calon Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra semalam menyaksikan seramai 261 calon bertanding merebut jawatan parti berkenaan.

Umno pertama kali menggunakan sistem pemilihan baru selepas pindaan Perlembagaan parti yang membolehkan ahli mereka mengundi pucuk pimpinan tertinggi parti.

Tiada ulasan: