Oleh A Shukur Harun
Setiap zaman mempunyai generasinya dan setiap generasi pula memiliki "pahlawan" atau pejuang masing-masing.
Zaman penjajah yang panjang - melebihi 500 tahun - walaupun dibelit oleh sistem feudel, namun masih wujud ramai para tokoh yang progresif yang menentang penjajah.
Nama-nama seperti Orang Kaya Datuk Bahaman, Tok Sagor, Mat Kilau Abd Rahman Limbong dan lain-lain seangkatan dengannya sentiasa diingat sebagai pejuang kemerdejaan, sehinggalah zaman Dr Burhanudin Al-Helmy, Ahmad Boestamam, Ishak Haji Muhamad, Ibrahim Yaakub dan lain-lain.
Tetapi malangnya, yang tertonjol hanya "kehebatan" para pemimpin Umno yang dipropagandakan siang dan malam, terutama ketika negara menyambut ulang tahun kemerdekaan seperti sekarang, menggambarkan seolah-olah peranan para pejuang lama kemerdekaan tanah air itu tidak bermakna lansung.
Ini suatu penyimpangan sejarah yang sangat ketara, namun dibiarkan berlanjutan kerana dipromosikan oleh media tradisional yang dikuasai oleh parti yang memerintah.
Bagaimanapun kedengaran pelbagai rungutan, terutama pemimpin yang berkuasa, bahawa bendera Jalur Gemilang tidak banyak dikibarkan di seluruh tanah air, sambutan kemerdekaan tidak sehebat di masa lalu dan pelbagai kekecewaan lagi.
Ada yang kesal bahawa generasi baru sudah melupakan sejarah tanah air, tidak ingat lagi siapakah yang berunding di London untuk mendapatkan kemerdekaan dan tidak lagi mengingati segala yang berlaku sebelumnya dan segalanya.
Pada pendapat saya, tidak wajar pihak tertentu mengeluh dan kecewa disebabkan sambutan kemerdekaan dalam keadaan muram, dakwaan generasi baru "melupakan sejarah" dan sebagainya. Hal ini tentu ada sebabnya jika kita mengamati keadaan sebenar suasana negara sekarang.
Bagaimanakah rakyat biasa hendak bergembira dan berpesta-pesta menyambut kemerdekaan, ketika mereka dihimpit pelbagai masalah berat yang hampir tidak tertanggung oleh mereka.
Kecualilah pembesar politik, orang kaya dan super-kaya, yang memiliki banglo, apartmen dan pelbagai kereta mewah, saham-saham, tokoh korporat yang mendapat projek besar berterusan, yang berligar dari padang golf, ke kelab-kelab mewah dan sebagainya.
Tetapi rakyat biasa yang bergaji, umpamanya, RM2,000 sebulanpun payah untuk membeli sebuah rumah teres, kerana harganya begitu tinggi, sementara tidak semudah itu pula untuk mendapatkan flet kerana sangat terbatas pembinaannya.
Pemaju tidak berminat hendak membina flet, kerana tidak mendapat untung yang banyak, sementara tanah di bandar besar hampir tidak ada lagi untuk dibangunkan flet atau rumah murah yang lain oleh kerajaan negeri.
Di samping itu, harga barangan keperluan harian yang terus menerus naik melambung seperti tidak terkawal dan ini sangat menyeksa rakyat. Harga barang yang mahal ini menyebabkan nilai wang di tangan menjadi amat kecil, belum lagi harga ubat di klinik swasta yang meningkat, semuanya melemaskan rakyat.
Situasi seperti ini tidak memungkinkan rakyat biasa menyambut ulang tahun kemerdekaan dengan penung gembira. Ini masalahnya, bukan kerana mereka tidak taat tanah air.
Yang bergembira sakan menyambutnya hanya segelintir para pemimpin besar bersongkok tinggi, yang berucap di pentas sambutan, menyatakan rasa gembira kerana negara bertambah makmur, kadar pertumbuhan ekonomi negara terus meningkat, rakyat bergembira di mana-mana.
Selepas berucap, pemimpin politik dijamu makan minum dengan pelbagai hidangan, lalu sang pemimpin politik berbisik dalam hatinya sendiri bahawa "memang benar rakyat Malaysia begitu makmur".
Ada menteri yang berkata, “kalau harga ayam naik, jangan makan ayam”. Ini sebuah kata-kata yang sepatutnya hanya dituturkan oleh pelakon yang memegang watak orang bodoh ketika bersembang di warung roti canai dengan kawan-kawannya dalam lawak jenaka di TV.
Tetapi apabila seorang menteri bercakap seperti pelawak, bayangkan bagaimana rakyat melihat dan mengadili mindanya.
Bagaimana pula dengan masalah jenayah yang sangat menakutkan. Dulu, kes-kes tembak-menembak jarang didengar, tetapi kini sudah menjadi perkara biasa. Hampir setiap hari kejadiaan seumpama itu berlaku dan sudah ada nyawa terkorban.
Belum lagi dengan kes-kes rompak dan ragut yang menjadi-jadi setiap hari. Orang ramai, khususnya wanita, sering menjadi mangsa, bahkan sudah ada nyawa melayang. Semuanya ini sangat menakutkan menyebabkan rakyat merasa tidak selamat, terutama apabila keluar rumah.
Pihak polis sudah mengumumkan senarai nama-nama kumpulan samseng yang kini sedang berkeliaran. Pihak polis berusaha membasi penjenayah ini dan sudah ada tangkapan dilakukan dipelbagai tempat, hasilnya sudah mula kelihatan dan diucapkan tahniah atas usaha polis yang bersungguh-sungguh.
Bagaimanapun, penjenayah terus bermunculan di sana sini, entah datang dari mana. Namun kita perlu memberikan kepercayaan kepada pihak polis dalam membasmi jenayah ini hingga ke akar umbinya.
Sementara itu dalam suasana menyambut kemerdekaan, kita melihat pula "kebanjiran" pendatang asing yang sangat menakutkan, yang datang dari pelbagai negara.
Jika kita berada di tengah bandar besar, seperti Kuala Lumpur, terutama pada hari-hari cuti umum, kita seperti berada di sebuah negara asing, dikelilingi oleh pelbagai warga negara asing – Bangladesh, Nepal, Myanmar, Filipina, Pakistan, Indonesia, malah orang Afrika yang bertubuh tegap, masing-masing dengan lagak dan gaya serta bahasa masing-masing.
Bagaimanakah pendatang asing ini dengan mudah berada di tanah air? Ini pertanyaan yang sering kedengaran di mana-mana oleh rakyat tempatan.
Tiada sebarang jawapan diperoleh, bagaimanapun kebanjiran pendatang asing ini akan mengundang pelbagai masalah, terutama masalah sosial, kesihatan, tempat tinggal dan lain-lain.
Khabarnya sudah ada dalam rancangan pemerintah untuk "mengimport" 1.3. juta rakyat Bangladesh ke sini untuk bekerja dalam pelbagai sektor swasta dan ini memang sangat menggamatkan.
Inilah situasi ketika negara menyambut hari kemerdekaan di mana semua masalah ini memerlukan penyelesaian segera supaya rakyat Malaysia benar-benar menikmati erti kemerdekaan dan kemakmuran tanah air dalam suasana tenang dan selamat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan