HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 September 2013

Politikus membaiki labu

 
Perosak utama Bahasa Malaysia adalah golongan politikus.


 [Pejuang Bahasa Malaysia ini melihat ahli politik sebagai punca utama pencemaran bahasa semakin berleluasa.]


Penggunaan istilah seperti “respek”, “uniporem”, “universil”, “royal”, “visiun”, “tribune”, “transpor”, “tapioka”, “suster”, “stasiun”, “setrup” dan “setrap” (sekadar contoh) rupa-rupanya sudah ada dalam Kamus Dewan Edisi Keempat.

Saya juga agak terkejut apabila menemui perkataan-perkataan itu serta banyak lagi istilah sewaktu melakukan pencarian pada minggu lalu; berikutan slogan “Respek Wanita” yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Soalnya, apakah langkah peminjaman istilah Bahasa Inggeris seperti ini mampu memperkaya serta membantu memartabatkan Bahasa Malaysia?

Sebagai seorang pencinta dan pejuang bahasa, saya berhak bertanya soalan ini.

Dalam pada itu, “badan-badan penulis Melayu” seperti Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) pernah menegaskan bahawa “Kamus Dewan hanya harus dilihat dari perspektif pandangan Melayu dan bukan dari kaca mata kaum-kaum lain” (The Malaysian Insider, 18 April 2011).

Maka, mungkin timbul rasa tidak selesa dalam kalangan puak tertentu apabila seorang individu “Bukan Melayu” seperti saya mengemukakan teguran berkaitan Bahasa Malaysia yang masih dianggap puak etnosentrik, pentaksub, ultra kiasu, fanatik dan rasis sebagai milik orang Melayu sahaja.

Kalau difikirkan, peminjaman istilah daripada Bahasa Inggeris secara berlebih-lebihan sehingga menggugat maruah, martabat, keunikan, kemampuan dan nilai Bahasa Malaysia adalah sesuatu yang amat memalukan. (Akan tetapi, mana politikus kenal makna malu!)

Apatah lagi apabila sudah sedia ada pelbagai istilah setara dan sama makna dalam Bahasa Malaysia – tanpa menafikan bahawa kebanyakan daripadanya memang “dipinjam” pada zaman dahulu daripada bahasa-bahasa lain; khususnya Sanskrit.

Bagi slogan “Respek Wanita” misalnya, tidakkah lebih sopan, lebih enak, lebih santun dan lebih indah apabila disebutkan “Hormati Wanita”? Atau mungkin juga golongan politikus dan pemimpin negara beranggapan istilah “hormat” tidak cukup gah untuk diangkat menerusi slogan sambutan Hari Wanita.

Sesungguhnya, saya sudah terlalu lama hilang segala rasa hormat dan harapan terhadap golongan politikus – “Badut Paul Lathic” – dalam soal memartabatkan Bahasa Malaysia.

Saya dihubungi wartawan TV Selangor pada 27 Ogos 2013 dan terus-terang saya nyatakan bahawa pihak yang paling banyak mencemarkan dan menghina Bahasa Malaysia adalah golongan politikus.

Orang politik membunuh bahasa 



Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dahulu, antara pertanyaan yang saya paparkan menerusi Facebook pada 4 April 2013 adalah “Sudahkah calon pilihan anda menguasai Bahasa Malaysia?”

Perkara ini mungkin dianggap remeh tetapi sebenarnya amat penting dalam soal mempertahankan maruah bahasa dan bangsa. Bahasa menunjukkan bangsa.

Memandangkan “Badut Paul Lathic” yang paling banyak bercakap serta paling banyak mendapat ruang liputan media arus perdana, mereka sewajarnya tahu menggunakan Bahasa Malaysia dengan betul.
Siapa lagi yang akan memartabatkan Bahasa Malaysia jika bukan Rakyat seperti kita? Politikus? Jangan haraplah! Sejarah membuktikan bahawa merekalah golongan yang paling banyak membunuh Bahasa Malaysia.

Kenyataan ini mungkin boleh dipertikaikan tetapi tidak boleh dinafikan.

Kita perlu faham bahawa kebanyakan orang yang memilih untuk menjadi “Badut Paul Lathic” dan seterusnya memegang jawatan penting dalam parti-parti politik bukannya ada ilmu yang tinggi – walaupun gelaran, pangkat dan kelulusan akademik boleh dibeli menggunakan wang dan pengaruh politik.

Perhatikan sahaja pada setiap kali mereka membuka mulut dan bercakap tanpa bantuan skrip yang disediakan oleh penulis ucapan.

Tonton sahaja petikan sidang media mereka yang disiarkan melalui stesen televisyen milik kerajaan. Tanpa mengira kaum dan keturunan, semua politikus ini adalah sama: pencemar Bahasa Malaysia paling utama!

Kita sebagai Rakyat (huruf besar disengajakan) perlu faham bahawa golongan politikus selalu sahaja membuka mulut tanpa berfikir. Atau mungkin juga tahap kemampuan berfikir mereka teramat rendah. Maka, memang itulah sahaja tahap pemikiran serta tahap penguasaan Bahasa Malaysia yang mampu mereka miliki.

Sudahlah bodoh, sombong pula! Sepatutnya, apabila sudah ada jawatan dan memegang tugas penting dalam kerajaan, golongan politikus ini perlu mengakui hakikat bahawa tahap penguasaan Bahasa Malaysia (dan Bahasa Inggeris) yang mereka miliki amat rendah.

Sekurang-kurangnya ambillah langkah-langkah sewajarnya bagi menguasai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa komunikasi dan bahasa perpaduan yang menjadi antara lambang kedaulatan “tanah tumpah darahku” (meminjam lirik lagu oleh seorang menteri baru-baru ini).

Malangnya, rata-rata politikus memilih untuk terus bodoh dan cuba membodohkan Rakyat. Tolonglah sedar bahawa Rakyat Malaysia tidak mudah diperbodohkan seperti dilakukan sebelum ini. Rakyat seperti saya tidak menghormati (atau “respek” kata Najib) politikus yang tidak tahu (atau tidak mahu) menghormati Bahasa Malaysia.

Meminggir akar dan jati diri bangsa 



Sewaktu saya bertemu Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Awang Sariyan di pejabat beliau pada 16 Julai 2013, kami antara lain bercakap mengenai Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) serta usaha-usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.

Dalam sebuah makalah yang saya tulis untuk The Malay Mail Online (27 Julai 2013), saya menyebut bahawa menjelang Oktober nanti, tumpuan khas akan mula diberikan oleh persatuan-persatuan penulis tertentu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu, Kementerian Pendidikan dan para politikus terhadap kepentingan memertabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.

Akan tetapi, sebaliknya pula yang sedang berlaku secara terang-terangan. Badut-badut Paul Lathic semakin ghairah membunuh, memperlekeh serta mengabaikan Bahasa Malaysia.

Dalam catatannya di Facebook pada 27 Ogos 2013, Awang menegaskan bahawa slogan atau tema “Respek Wanita” adalah satu daripada sekian banyak ungkapan yang diciptakan tanpa rasa peka, cakna dan bertanggungjawab terhadap Bahasa Malaysia.

“Ada sejumlah pihak yang tidak peduli akan usaha kita membina tamadun bermaruah, dan mereka bergerak dengan selera dan caranya yang bertentangan.

“Tawaran dan khidmat yang diberikan untuk perundingan dan khidmat nasihat bahasa tiada ertinya bagi mereka kerana mereka itu pengamal liberalisme dan kononnya dalam kabilah orang moden dan maju, yang tidak berasa bersalah meminggirkan akar dan jati diri serta citra tamadun bangsanya,” kata beliau yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan Audit Bahasa di beberapa kementerian dan kerajaan negeri.

Awang melihat isu seperti slogan “Respek Wanita” sebagai isu sikap, pemikiran dan pandangan alam yang tidak dapat diselesaikan sekadar dengan menuding jari kepada sesiapa. Sebaliknya sudah menjadi lumrah atau kebiasaan yang tidak dianggap salah oleh sebahagian anggota masyarakat.

“Kita memerlukan agenda besar dan tegas melalui sistem pendidikan dan semua sektor kehidupan di negara ini untuk membina sikap bahasa, tamadun dan pandangan alam yang tepat dengan gagasan pembangunan menurut acuan kita,” kata penerima Anugerah Profesor Kehormat Pendidikan Bahasa dan Kebudayaan (2012) daripada Beijing Foreign Studies University (BFSU) itu.

Saya sependapat dengan beliau dalam isu ini. Sekurang-kurangnya apabila saya memetik pandangan Ketua Pengarah DBP, puak-puak tertentu tidak akan sewenang-wenangnya menuduh saya menimbulkan “huru-hara, ugutan dan hasutan” (The Malaysian Insider, 18 April 2011) dalam isu bahasa yang kononnya “hanya harus dilihat dari perspektif pandangan Melayu dan bukan dari kaca mata kaum-kaum lain”.

Sempena Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia, marilah kita sama-sama menyedari dan mengakui hakikat bahawa Bahasa Malaysia adalah milik Bangsa Malaysia, dan sesungguhnya perosak utama Bahasa Malaysia adalah golongan politikus.

Uthaya Sankar SB akan mengendalikan acara “Baca Cerpen Kavyan” anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan di Galeri Shah Alam pada 1 September 2013.

Tiada ulasan: