KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam menafikan spekulasi beliau menarik diri daripada bertanding jawatan naib presiden Umno pada saat-saat akhir.

Sebaliknya, beliau menjelaskan kelewatan menghantar borang pencalonan itu berikutan tiada wakil sesuai untuk mewakilkannya menghantar borang pencalonan kepada Sekretariat Umno.

"Saya telah pun menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding jawatan Naib Presiden kira-kira 4 petang, khabar angin itu hanyalah spekulasi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.

Ditanya lanjut mengenai spekulasi itu, Mohd Ali yang berpakaian baju batik biru berkata: " Apa-apa boleh berlaku...semua calon ada tempoh 72 jam."

Atas keyakinan beliau berpeluang memenangi jawatan itu, Mohd Ali berkata, beliau menawarkan diri bertanding kerana mahu mempertahan hak Melayu dan agama selain tidak mengetepikan hak orang lain seperti termaktub dalam Perlembagaan negara.

Ditanya mengenai sama ada pesaingnya terutama Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir boleh menjejas peluangnya, Mohd Ali berkata, beliau percaya semua yang bertanding mempunyai peluang yang sama.

"Semua ada berjasa, (sama ada) dalam parti (atau) dalam kerajaan, semuanya ada rekod yang baik-baik belaka," katanya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah  Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menawarkan diri untuk mempertahan jawatan masing-masing sebagai naib presiden. - Bernama